Kedai hanya buka 8 pagi - 8 malam mulai Rabu


Alfian Z.M. Tahir

Pekerja sebuah pasar raya besar di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur kelihatan pulang dari tempat kerjanya ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kerana pandemik Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Mac, 2020.

KEDAI makan, kedai runcit, pasar raya besar dan pasar raya hanya boleh beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam bermula Rabu ini, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata arahan sama dikenakan terhadap stesen minyak, bagi fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa.

“Keputusan dibuat dalam mesyuarat pagi ini. Semua kedai makan, kedai runcit, pasar raya besar dan pasar raya serta stesen minyak hanya beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Bagi pengangkutan awam dan perkhidmatan e-hailing, mereka boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.

“Kerajaan juga mengesyorkan pembelian secara atas talian bagi mengehadkan kontak antara manusia.

“Jika anda beli makanan, penghantar boleh letak makanan anda di luar pagar dan anda boleh mengambilnya selepas dia pergi. Kami mahu elakkan kontak,” katanya

Ia merupakan antara langkah memperketatkan PKP apabila masuk fasa kedua bermula 1 April, katanya.

Beliau juga berkata, kes pelanggaran PKP juga dikesan semakin meningkat dengan jumlah tangkapan seramai 858 individu.

“Tangkapan semakin meningkat menunjukkan polis ambil tindakan lebih tegas daripada sebelumnya.

“Tetapi sasaran kita bukan nak tambah tangkapan, tapi kurangkan tangkapan. Banyak tangkapan maknanya ramai rakyat tak patuh arahan, sasaran kita semakin kurang tangkapan untuk tunjuk pematuhan rakyat capai keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, polis dan angkatan tentera juga sudah melakukan 1,210 sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke atas 257,287 kenderaan.

“Sekatan jalan raya di plaza tol ada 23 sekatan dan mulai semalam ditingkatkan keoada 65 sekatan di plaza tol dan akan ditingkatkan kepada 114 plaza tol di seluruh negara,” kata Ismail Sabri lagi.

Katanya, setakat ini, seramai 67,774 anggota polis, Rela, tentera, dan Angkatan Pertahanan Awam yang bertugas.

“Kita mempunyai simpanan yang lebih ramai dan akan ditambah dari masa ke semasa,” tambahnya. – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen