Peluang bina semula ekonomi berasaskan kecukupan


Salhan K. Ahmad

Wabak Covid-19 membuka mata semua pihak bahawa pembangunan ekonomi perlu dibuat berdasarkan kecukupan semua pihak bukan hanya golongan pemodal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

BELUMPUN sempat Muhyiddin Yassin dan gerombolannya merasa ghanimah hasil membelot rakan-rakan mereka dalam Pakatan Harapan, dengan mendadak negara ditimpa musibah besar.

Setakat semalam, 35 nyawa rakyat kita menjadi korban wabak besar Covid-19. Seramai 73 orang yang positif dijangkiti kuman berbahaya ini sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi.

Mujurlah kita ada pakar berwibawa dalam Kementerian Kesihatan membuat keputusan penting.

Entah apalah nasib kita semua jika segala keputusan diharapkan kepada menteri tanpa mandat yang hanya pandai menasihatkan orang untuk minum air suam bagi mematikan kuman coronavirus.

Bagi memayungi rakyat dari bencana ekonomi yang bakal membadai, Muhyiddin menyebut angka besar – RM250 bilion sebagai pakej rangsangan – yang tidak dijelaskan puncanya.

Apabila dikaji pakar dan pemerhati ekonomi, barulah kita tahu tidak sampai 10% atau hanya sekitar RM22 bilion saja daripada dana kerajaan.

Sebahagian besarnya adalah duit kita sendiri dan kemudahan kewangan, seperti pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan penangguhan bayaran balik pinjaman.

Bantuan besar yang disebutnya untuk rakyat termiskin itu juga tidaklah sebesar mana. Kebanyakan bantuan itu bersifat one-off dan sementara.

Seolah-olah, malapetaka ekonomi itu akan terus kendur selepas mengganas selama enam bulan.

Dana perang sebenar untuk melawan Covid-19 daripada jumlah RM250 bilion itu pula hanyalah RM1 bilion untuk Kementerian Kesihatan, termasuk bagi mendapatkan peralatan.

Walhal, peranan kementerian inilah yang paling penting dalam memerangi wabak yang sudah mengorbankan lebih 25,000 umat manusia sejak Disember.

Bagaimana pula hospital swasta memain peranan dalam perang ini? Apakah cara untuk kes sedia ada dirujuk ke hospital swasta. Sejauh mana kesediaan doktor di hospital mahal ini untuk berkhidmat?

Ketika wabak yang menjadi benteng pertahanan terakhir negara adalah Kementerian Kesihatan yang selama ini bergelut dengan peruntukan tidak mencukupi saban tahun.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

Adakah mereka akan berpeluk tubuh dan mendesak diberi imbuhan kewangan langsung dan tidak langsung terlebih dahulu sebelum menyinsing lengan untuk membantu?

Apa pula cara untuk Cik Kiah, watak rekaan disebut Muhyiddin, menjadi pesakit di wad ICU hospital swasta ini untuk rawatan yang tidak berkaitan Covid-19?

Adakah Cik Kiah mampu ke hospital swasta untuk merawat penyakitnya, apabila hampir seluruh sumber hospital awam kini digunakan untuk menangani kes Covid-19?

Kesenjangan ini berlaku kerana usaha memerangi Covid-19 dihadapi sebagai satu operasi membasmi penyakit berjangkit dan bukan satu usaha bersepadu sebagai peperangan.

Cik Kiah tidak akan mampu menjejak hospital swasta, melainkan jika ia dimiliknegarakan terlebih dahulu. Langkah holistik seperti inilah yang mampu menyelamatkan ekonomi.

Belum ada pihak yang dapat menjangka dengan pasti seburuk mana kesan ke atas ekonomi selepas badai Covid-19 berlalu. Kita tidak tahu betapa besar dan dalam kemelesetan yang bakal berlaku.

Adakah hanya 2.4 juta rakyat akan hilang pekerjaan? Institut Kajian Ekonomi Malaysia yang menerbitkan angka tersebut juga menjangka 6.7% daripadanya dari kategori pekerja tidak mahir.

Itu merupakan antara beberapa bayangan kegawatan yang bakal melanda kelak kerana hampir seluruh kegiatan ekonomi kini lumpuh, sunyi sepi seperti baru diserang garuda.

Kita juga bimbang kerajaan pimpinan Muhyiddin yang dapat merasa nikmat menggunakan kuasa polis dan tentera untuk mengubah sikap rakyat ini menjadi seperti raja bersiong pula.

Di satu sudut pandangan lagi, musibah ini juga membawa kebaikan.

Wabak menyedarkan kita banyak perkhidmatan selama ini bersikap tidak adil kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

Secara tiba-tiba, seribu orang warga kemacar yang tidak berumah mendapat perlindungan di kem Pusat Latihan Khidmat Negara kerana bimbang mendapat jangkitan sekiranya terus kekal di jalanan.

Kini kita tahu ada bangunan seperti ini yang terbiar kosong sedangkan seribu orang tidur beralaskan lengan di kaki lima sejak sekian lama.

Kita juga tahu ada di kalangan kita terdiri dari golongan yang mampu menganggap RM2 juta sebagai duit poket.

Orang seperti inilah yang pernah mengancam untuk menangkap sesiapa sahaja yang berani memberi makan kepada warga gelandangan.

Pada masa sama, kita perlu faham struktur ekonomi yang membolehkan orang menganggap RM2 juta sebagai duit poket dan membiarkan seribu orang bergelatakan di kaki lima tanpa naungan kerajaan.

Asas dan struktur ekonomi itulah yang menyebabkan kesan Covid-19 amat menekan pada waktu ini.

Bayangkan negara seperti Amerika Syarikat yang gagah dan menggerunkan semua musuhnya dengan senjata canggih di lautan, udara dan darat kini begitu sengsara.

Banyak gergasinya korporat yang selama ini tegak dan megah di pasaran bebas tersungkur dan terpaksa merayu bantuan kerajaan.

Ketika manusia berkurung takutkan wabak, alam sekitar sedang memulihkan dirinya.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

Satu lagi nikmat yang dapat kita rasai, udara semakin segar kerana tiada lagi pencemaran dikumuh oleh kilang yang mengeluarkan barangan tidak perlu. Tentu mutu air di sungai-sungai juga semakin baik.

Lapisan ozon di lapisan langit bumi juga dilaporkan kian sembuh. Kita juga tahu di dalam hutan sana haiwan liar semakin bebas bergerak tanpa ancaman kerana musuhnya, manusia, kini terkurung.

Kita juga sedar caruman insurans mahal yang membolehkan orang berani menjejak kaki ke hospital swasta tidak mampu menjamin keselamatan dari serangan pandemik seperti Covid-19.

Hanya di waktu getir seperti ini kita dapat insafi jagaan kesihatan paling bermutu hanya dapat diperolehi di hospital awam, dan kita hairan kenapa hospital ini tidak dibiaya sebaik-baiknya.

Kita juga tahu pada waktu bencana ini perkara paling penting hanyalah mencukupkan keperluan seperti kesihatan, pekerjaan, makanan, keselamatan, kebersihan, perumahan, dan hubungan keluarga.

Kita juga dapat lihat betapa hinanya pemimpin yang bermegah dengan kemewahan dan kenderaan bagus ketika rakyat merintih lapar.

Sewaktu segala dewa kemewahan melutut meminta simpati dana rakyat inilah kita harus mengambil peluang membina semula ekonomi cara baharu yang lebih egalitarian.

Kita harus bina ekonomi berasaskan kecukupan dan bukan lagi berasaskan kelebihan. Ia memerlukan pengorbanan besar, lebih daripada potongan gaji dua bulan menteri.

Bukan hanya ke atas anggota Kabinet tetapi juga kapten industri, kaum pemodal dan pemimpin korporat. – 30 Mac, 2020.

* Salhan K Ahmad anggota sidang redaksi The Malaysian Insight. E-mel: [email protected]

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen