Nelayan sukar jual ikan ketika perintah sekatan, kata persatuan


Khoo Gek San

Nelayan sukar menjual hasil tangkapan ketika pelaksanaan PKP susulan pasar raya dan restoran tidak beroperasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

NELAYAN pada masa ini berdepan kesukaran untuk menjual hasil tangkapan susulan pasar raya besar dan restoran menggantung operasi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Kebanyakan nelayan terpaksa membuang ikan yang tidak dapat dijual kembali ke laut apabila loji pemprosesan berhenti operasi dari awal pelaksanaan PKP, kata Presiden Persatuan Hai Suah Hutan Melintang Lee Chu Soi.

“Ramai nelayan tidak dapat pembeli ikan mereka kerana pasar raya ditutup,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

“Nelayan di Hutan Melintang, Perak terpaksa buang stok ikan bernilai RM1 juta kerana penutupan sementara loji pemprosesan makanan di kawasan ini.

“Kerana penutupan itu, ikan kecil yang biasanya akan diproses, kini tidak dapat disimpan. Ia terpaksa dibuang di laut.

“Operasi loji pemprosesan beroperasi semula 23 Mac selepas pihak berkuasa membenarkan operasi bersambung,” kata Lee.

Beliau berkata ikan kecil, kepala dan ekor ikan terpaksa dibuang di laut.

Loji pemprosesan makanan itu menggunakan ikan kecil untuk membuat makanan proses sementara ekornya diproses untuk dijadikan makanan haiwan.

Bagi mengurangkan kerugian dan pembaziran pada masa sekarang, Lee berkata nelayan di Hutan Melintang membekukan hasil tangkapan mereka.

Setakat ini, stok 10,000 tan ikan beku disimpan, termasuk ikan kembung dan marlin.

“Biasanya ia dijual RM5 sekilo tetapi sekarang hanya RM1.50. Memandangkan kebanyakan ikan tidak dapat dijual, ia dibekukan.”

Katanya, ikan beku mampu bertahan sehingga enam bulan.

Nelayan di Hutan Melintang terpaksa membekukan hasil tangkapan mereka susulan ikan tidak dapat dijual pada masa ini. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang nelayan terus turun ke laut.

“Kami ada bot nelayan laut dalam di sini, kami tidak boleh berlabuh pada masa sama, kami tidak dapat menampung semua sekali,” kata Lee.

Ikan dari Hutan Melintang dibekalkan untuk bandar-badar di Malaysia termasuk Muar, Selayang, Ipoh selain dieksport ke Singapura.

Semuanya terjejas pada masa ini kerana PKP.

Presiden Persatuan Industri Perikanan Malaysia Chia Tian Hee berkata nelayan di Selangor tidak turun ke laut untuk menangkap ikan sejak PKP kerana tidak ada akses kepada stor simpanan beku.

“Menurut nelayan di Perak dan Johor, mereka bekukan hasil tangkapan,” katanya.

Beliau berkata harga ikan di kawasan luar bandar jatuh sementara di kawasan bandar, harga naik. Ia susulan pasar terbuka tidak dibenarkan beroperasi seperti biasa di kawasan luar bandar, tetapi pasar dalam bangunan beroperasi seperti biasa di bandar.

“Ikan beku di Pulau Pinang, Perak dan Johor biasanya ikan kecil, di mana ia biasanya dijual ke Indonesia, Kemboja dan Filipina.

“Tetapi permintaan sekarang sangat berkurangan susulan langkah pencegahan yang dilaksanakan di negara berkenaan.”

Chia berkata pada masa ini 80% bot nelayan di Sekinchan dan Dagang masih keluar menangkap ikan seperti biasa, dan dijangka tiada masalah kekurangan bekalan pada masa akan datang. – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen