Pewaris mahu persembah cadangan bangun Kampong Bharu pada Agong


Mohd Farhan Darwis

PERTUBUHAN Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampong Bharu (Pewaris) mahu mempersembahkan cadangan pembangunan menggunakan sistem wakaf kepada Yang di-Pertuan Agong.

Untuk tujuan itu, persatuan perlu bertemu dengan pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membincangkan prosedur untuk pelaksanaan, kata setiausahanya Zainudin Ismail.

“Sepatutnya Pewaris akan bertemu dengan pihak MAIWP pada Jumaat, 20 Mac ini, tetapi terpaksa ditangguhkan susulan perintah kawalan pergerakan yang bermula (18 Mac),” kata Zainudin kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, Pewaris sudah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Mohd Ansarullah Mohd Hashim pada Selasa, 17 Mac lalu, bagi menyuarakan hasrat mereka itu.

“Ikut perancangan, kita jumpa MAIWP untuk dapatkan penjelasan berkenaan prosedur lengkap sistem wakaf, kemudian menghadap Agong kerana hal ehwal Islam di bawah bidang kuasa baginda,” katanya.

Selepas itu, mereka merancang untuk mengemukakan cadangan yang sudahpun mendapat reaksi positif pejabat mufti tersebut kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, katanya.

“Berdasarkan hasil pertemuan dengan pejabat mufti nampak gayanya macam semua pihak teruja dengan sistem wakaf untuk bangunkan Kampong Bharu,” kata Zainudin.

Katanya sekiranya langkah itu berjaya, MAIWP bersama-sama Pewaris akan mengadakan jelajah penerangan kepada penduduk Kampong Bharu, berkenaan cadangan pembangunan berkenaan.

Pewaris percaya sistem wakaf adalah jalan terbaik membangunkan kawasan Kampong Bharu, kerana sistem itu bebas daripada belenggu dan ketidaktentuan politik atau pertukaran kerajaan.

Melalui sistem wakaf, pemilik dan pewaris tanah juga tidak perlu bimbang hilang hak pemilikan tanah kerana lot hartanah mereka akan dijaga oleh pemegang amanah tunggal.

Untuk tujuan itu, Pewaris katanya berhasrat menggunakan dana wakaf MAIWP dalam membangunkan petempatan Melayu di ibu kota itu.

Pemilik tanah yang bersetuju dan menyertai sistem tersebut juga katanya akan menerima harga yang jauh lebih tinggi berbanding tawaran kerajaan sebelum ini.

Pewaris menjangkakan melalui sistem wakaf juga, pemilik tanah akan ditawarkan RM1,250 sekaki persegi berbanding tawaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) RM1,000 sekaki persegi.

Sebagai permulaan, Pewaris sudah mempunyai 15 bidang tanah, dengan setiap bidang mengandungi antara 15 hingga 20 lot tanah yang bersetuju untuk dibangunkan sebagai projek perintis, kata Zainudin.

Menurut Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad seramai 60% daripada 5,374 pemilik sudahpun bersetuju untuk menjual tanah itu bagi pembangunan.

Persetujuan itu diperolehi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) yang dilantik untuk membangunkannya.

Pewaris merupakan antara pihak yang membantah kerana kesemua pilihan yang ditawarkan kerajaan waktu itu menyebabkan pemilik kehilangan hak ke atas tanah mereka.

Zainudin juga berkata, Pewaris kini bergerak bersama Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia bagi menjayakan sistem wakaf untuk pembangunan tersebut. β€“ 30 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen