Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat: Ubat atau gula-gula?


TAHNIAH kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yasin dan pasukan beliau atas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat kelmarin. 

Walaupun positif pada umumnya, menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk menilai secara terperinci intipati pakej tersebut; apatah lagi mengenangkan kerajaan ini belum memperolehi mandat penuh daripada rakyat sebagaimana kerajaan-kerajaan sebelumnya.

Selain Malaysia, banyak negara lain yang telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi masing-masing dengan matlamat untuk menampan serangan wabak Covid-19, serta menangani kegawatan ekonomi yang sedang melanda dunia. 

Di negara kita, kedua-dua fenomena malang tersebut diburukkan lagi dengan fenomena ketiga yang lebih mendesak iaitu mengurus persepsi umum terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Legitimasi kerajaan yang terbentuk bukan daripada pilihanraya umum tetapi sebaliknya melalui helah politik sehingga bertukarnya kerajaan akan terus dipersoalkan sehingga pilihanraya umum akan datang. 

Sekiranya tidak ditangani apa jua inisiatif kerajaan akan diremehkan, jika tidak diketawakan.

Justeru persepsi negatif rakyat terutama sekali dari kalangan orang Melayu dan Bumiputera mesti diperbetulkan. 

Cara paling berkesan untuk memujuk orang Melayu ialah dengan menggula-gulakan mereka, dan formula tersebut sememangnya telah terbukti turun-temurun. 

Maka tidak hairanlah apabila pakej rangsangan ini telah memperuntukkan sebegitu besar dana bagi memujuk rakyat (dijenamakan sebagai pakej prihatin), mengatasi dana untuk merangsang industri dan ekonomi negara yang lebih menekan.

Daripada RM250 bilion, hanya RM1.5 bilion (atau 0.6% daripada nilai keseluruhan pakej) diperuntukkan bagi menangani wabak Covid-19 yang akan terus tertumpu kepada usaha memantau dan menambah sedikit sebanyak peralatan serta infrastruktur sokongan bagi merawat pesakit.

Selagi vaksin Covid-19 belum ditemui, perintah kawalan pergerakan akan berterusan, mungkin hingga selesai sambutan Aiditfitri nanti.  

Ada logiknya pemerhatian ini memandangkan pemberian wang tunai secara one-off yang dipecahkan kepada dua ansuran bulanan yang mahu memujuk orang Melayu yang bakal menyambut Ramadhan pada bulan April dan Aidilfitri pada bulan Mei. 

Ditambah pula dengan sidang Parlimen yang telah dianjak dan tidak boleh ditangguh lagi, maka legitimasi kerajaan yang bakal disanggah dengan lantang di Parlimen pada bulan Mei nanti tidak dapat tidak mesti dimenangkan dengan persepsi sokongan akar umbi, vis-a-vis keluarlah naratif Makcik Kiah dan keluarganya yang mewakili sebahagian besar sasaran gula-gula iaitu kumpulan isirumah Melayu serta Bumiputera bandar, pinggir bandar dan kampung.   

Pada masa yang sama matlamat rangsangan ekonomi utama iaitu kepada sektor PKS dan korporat dilihat tidak menyeluruh sebagaimana pengumuman pakej rangsangan pertama oleh Dr Mahathir Mohamad; bahkan agak berbeza dari segi nisbah pembahagiannya dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi yang pertama berjumlah RM20 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri sementara.

Pakej rangsangan industi yang memfokus kepada PKS hanya bersifat melepas batok di tangga dan melengah-lengahkan, dengan harapan isu legitimasi kerajaan PN serta serangan Covid-19 selesai mengikut jadual. 

Dengan sebahagian besar peruntukan diguna untuk memujuk-rayu maka tidak banyak pilihan atau baki dana yang ada untuk merawat serta mengubat sakit yang bakal melarat iaitu kemelesetan ekonomi Negara serta kemiskinan rakyatnya.

Pengumuman semalam juga dilihat bercanggah dengan laporan khas Malaysia Institute of Economic Research (MIER) baru-baru ini telah menyediakan analisa terperinci impak ekonomi semasa dan selepas Covid-19.  

MIER dalam laporannya telah mencadangkan bajet tambahan sebanyak RM75 billion sahaja bagi mengekang unjuran kejatuhan ekonomi sehingga 0.77% daripada jangkaan asal 4.7% untuk tahun 2020.

Jumlah ini jauh lebih rendah daripada RM250 bilion yang telah dibentang semalam; namun sebagai tambahan kepada peruntukan RM20 bilion oleh Dr Mahathir bulan lalu, MIER lebih berpijak di bumi nyata. 

Perhatian khusus terhadap usaha-usaha meningkatkan kapasiti dan produktiviti, antaranya sektor kedaulatan dan keselamatan makanan, mengaktifkan semula bayaran GST pada kadar yang lebih sesuai, serta saranan-saranan quick-wins seperti peruntukan RM20 billion untuk pinjaman PKS, memperkasa guna tenaga wanita dan graduan, menggantikan tenaga buruh import kepada tenaga domestik dan banyak lagi merupakan preskripsi ubat yang pahit dan mahal harganya, tetapi perlu.

Laporan MIER juga bertunjang kepada fakta wabak Covid-19 yang belum menampakkan tanda-tanda pulih sepenuhnya, yang akan menyumbang kepada kemerosotan input pengeluaran dan perdagangan sehingga 70% untuk separuh pertama 2020, yang hanya dijangka akan pulih 96% pada akhir suku ketiga tahun ini.

Barangkali sekiranya “Langkah Sheraton” tidak berlaku dan kerajaan Pakatan Harapan masih memerintah, halatuju pakej ransangan ekonominya sudah tentu berbeza. 

Peruntukan gula-gula yang begitu besar ala BR1M tidak diperlukan, memandangkan bayaran one-off tersebut akan habis langsai sebaik saja musim perayaan Aidilfitri berakhir. 

Tawaran moratorium atau penangguhan pembayaran hutang berjadual selama enam bulan serta tawaran penangguhan komitmen hutang yang lain hanya bersifat sementara dengan beban risiko yang besar terus terpikul di bahu rakyat terutama apabila pendapatan mereka masih terus terumbang-ambing.

Pengumuman Pakej Prihatin kelmarin telah memperuntukkan dana yang hakikatnya di luar kemampuan negara, yang umum tahu nilai hutangnya sudah melepasi satu trillion ringgit apabila kerajaan bertukar tangan pada 2018, tetapi lebih kepada mengurangkan defisit kepercayaan rakyat kepada kerajaan yang baru dinobatkan.

Barangkali perkara positif yang dapat dilihat daripada pengumuman semalam ialah kehebatan kerajaan PN mengurus media arus perdana dan media sosial berbanding kerajaan Pakatan Harapan yang sering terkhilaf. 

Walaupun saiz kabinet Muyiddin lebih besar, fokus media lebih banyak tertumpu kepada personaliti Perdana Menteri yang tenang, warak dan tidak berpura-pura yang sedikit sebanyak berjaya meredakan kemarahan penyokong Dr Mahathir  dan penyokong Anwar Ibrahim. 

Tempoh “gencatan senjata” ini setidaknya-tidaknya akan terus kekal sehingga virus Covid-19 terhapus atau sehingga rakyat bebas dari tahanan rumah yang menjemukan dan kembali ke alam realiti yang menakutkan. – 29 Mac, 2020.

 * Mohd Rizal Jaafar adalah usahawan dan mantan ketua pegawai operasi sebuah badan ekonomi Melayu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen