Perompak larikan barang vintaj cecah RM100,000 ketika PKP


Alfian Z.M. Tahir

Barangan vintaj bernilai hampir RM100,000 dirompak di Kampong Bharu semasa PKP berlaku. – Gambar ehsan pengadu, 29 Mac, 2020.

SEORANG pemilik kedai barangan vintaj di Kampong Bharu, Kuala Lumpur kerugian lebih RM100,000 apabila premis niaganya dipecah masuk ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sedang berjalan.

Ketua Balai Polis Dang Wangi Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah memberitahu The Malaysian Insight yang pemilik itu mengunci kedainya pada 21 Mac lalu dan datang untuk memeriksa keadaannya tetapi mendapati ia sudah dirompak.

“Pemilik mendapati kedainya dirompak pada 28 Mac. Perompak memotong mangga di hadapan kedai sebelum merompak barangan di dalamnya.

“Perompak melarikan jam tangan berjenama, topi kaledar vintaj, cermin mata hitam, dompet dan beg tangan berjenama, kasut dan t-shirt,” kata Fahmi, menambah yang ini adalah kejadian rompakan pertama dilaporkan berlaku sepanjang PKP berlangsung.

Pemilik kedai Nieza Shah mengesyaki perompak pernah datang ke kedainya kerana mereka mengetahui di mana barangan berharga disimpan.

Nieza, 43, juga berkata perompak menggunakan beg besar dari kedainya untuk melarikan barangan berharga itu.

“Ini bukan seorang sahaja. Saya rasa lebih dua orang. Mereka ambil beratus jam tangan, cermin mata hitam dan topi kaledar berjenama.

“Saya anggarkan kerugian RM100,000,” katanya, menambah yang ini adalah kejadian pertama kedainya dirompak sejak mula beroperasi enam tahun lalu.

Tambahnya, perompak juga memotong sumber kuasa CCTV di luar kedainya, sementara kamera pemantauan di dalam kedainya tidak beroperasi. – 29 Mac, 2020.

Beratus jam tangan, cermin mata hitam, topi kaledar, kasut dan barangan berharga lain dilarikan. – Gmbar ehsan pengadu, 29 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen