TENTERA Filipina menahan dan menyiksa orang awam yang cuba melarikan diri daripada kawasan selatan negara itu yang ditawan sepanjang pertempuran yang berlangsung selama lima bulan dengan militan yang setia dengan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS), kata Amnesty International pada Jumaat.
Kempen ketenteraan yang disokong Amerika Syarikat untuk merampas kembali Marawi mengorbankan lebih 1,100 nyawa termasuk hampir 900 orang militan, menyebabkan 400,000 penduduk melarikan diri dan memusnahkan sebahagian besar bandar itu.
Amnesty menggesa Manila menyiasat dakwaan “pencabulan serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan pencabulan serta pelanggaran undang-undang hak asasi manusia yang lain” dalam laporan yang dikeluarkan sebulan selepas Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan bandar itu bebas daripada cengkaman IS.
“Tentera kerajaan Filipina melanggar larangan menghalang penyiksaan dan layanan buruk lain terhadap tahanan, dan didakwa melakukan jenayah keganasan,” kata laporan itu.
Kumpulan hak asasi itu menembual lapan orang, termasuk beberapa orang pekerja pembinaan beragama Kristian yang menceritakan bagaimana mereka “dipukul dan diugut bunuh” oleh tentera laut Filipina.
Amnesty juga mengatakan ia bercakap dengan beberapa orang yang mendakwa tentera kerajaan mencuri harta rakyat tempatan seperti telivisyen, barangan antik dan komputer sementara militan pula mencuri senjata, barang kemas dan duit dari rumah mereka.
“Tentera kerajaan juga mungkin melakukan serangan darat dan udara yang melampau,” katanya, menambah jumlah kematian orang awam disebabkan pengeboman dan dibunuh militan “mungkin jauh lebih tinggi berbanding angka rasmi dikeluarkan”.
Pihak tentera mengatakan Amnesty menghubungi pihak berkuasa ketika menulis laporan itu dan diminta menghantar dokumen pertanyaan kepada kementerian luar atau misi tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya boleh dijawab kerajaan.
“Kami beritahu mereka yang kami komited untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia,” kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Restituto Padilla kepada wartawan, mengatakan kes yang dikaji Amnesty mungkin adalah “kes terpencil”.
Bagaimanapun, Padilla menambah yang seorang pegawai dan lima anggota tentera sedang disiasat atas dakwaan mencuri peralatan di medan perang.
Ratusan militan asing dan tempatan yang setia kepada IS menakluk IS pada 23 Mei.
Pemberontakan itu ditumpaskan dengan bantuan AS dan Australia serta China dan Rusia yang menghantar senjata kepada tentera Filipina.
Setiausaha Pertahanan AS James Mattis bulan lepas memuji tentera Filipina kerana menjaga hak asasi sepanjang pertempuran dalam bandar itu.
Tetapi Amnesty mengatakan ia merekodkan “pelbagai pencabulan serius undang-undang kemanusiaan oleh semua pihak terlibat” dalam konflik itu.
Dalam laporan itu, saksi mendakwa militan membunuh sekurang-kurangnya 25 orang kebanyakkannya penganut Kristian dengan menembak atau mengelar mereka- tindakan yang boleh dianggap jenayah perang. – 17 November, 2017.
Komen