Terima kasih bantu tetapi bagaimana cara edar, tanya peniaga kecil


Sheridan Mahavera Khoo Gek San

Peniaga dan penjaja kecil adalah kumpulan paling teruk terjejas kerana pendapatan mereka bergantung kepada jualan harian yang kini tidak dapat dilakukan kerana PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

SELEPAS kehilangan sumber pendapatan harian sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan 18 Mac lalu, peniaga dan penjaja kecil gembira dengan pakej rangsangan ekonomi diumumkan Putrajaya walaupun ada kebimbangan tentang kaedah bantuan akan disalurkan.

Mereka bimbang masalah lama akan berulang-karenah birokrasi tidak berkesudahan yang menyukarkan permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan.

Wabak koronavirus baharu (Covid-19) dan pelaksanaan PKP untuk mencegah penularannya adalah bencana kepada mereka yang antaranya menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual burger, pisang goreng atau berniaga di pasar malam.

Menurut mereka, skim pembiayaan mikro-kredit dalam pakej rangsangan ekonomi kedua diumum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu, akan membantu kewangan mereka apabila PKP menyebabkan semua perniagaan tidak penting ditutup dan memaksa semua rakyat duduk di rumah.

Bantuan wang tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana dalam pakej terbaru itu dijangka memberi manfaat kepada keluarga dengan pendapatan kurang RM8,000 sebulan.

“Ia pakej rangsangan yang sangat pro penjaja kecil dan akan membantu kami berdepan masa sukar,” kata Ridzwan Abdullah, presiden Persatuan Rangkaian Peniaga Kecil (Ikhlas).

“Tetapi kami ada satu kebimbangan- pengedaran. Kami bimbang walaupun perdana menteri sudah buat pengumuman, semua program baharu ini tidak dilaksanakan dengan baik oleh penjawat awam.

“Karenah birokrasi di peringkat pertengahan dan rendah perkhidmatan awam akan menyukarkan perniagaan kecil untuk memohon dan mengetahui garis panduan permohonan,” kata Ridzwan yang menyelia lebih 100,000 ahli Ikhlas.

“Saya sebelum ini dapat banyak panggilan telefon termasuklah dari Sabah dan Sarawak tentang kesukaran memohon program kerajaan. Jadi saya harap ia tidak berulang dengan pakej rangsangan ini kerana sangat penting untuk ketika keluarkannya secepat mungkin.”

Bagi mengekalang penularan wabak Covid-19, seluruh Malaysia kini diletakkan dalam perintah kawalan pergerakan sehingga 18 April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

Putrajaya mengumumkan pakej rangsangan ekonomi kedua pada Jumaat lalu, melibatkan antaranya pengecualian cukai dan yuran mencecah RM4.5 bilion dan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana bagi mengurangkan kesan wabak Covid-19 dihadapi mereka.

Perniagaan kecil seperti penjaja, peniaga pasar dan dalam talian malah pusat jagaan kanak-kanak layak untuk memohon skim mikro kredit diuruskan Bank Simpanan Nasional.

Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) juga menyediakan jaminan RM5 bilion dan meningkatkan kadar jaminan kepada 80% berbanding 70% untuk PKS yang berdepan masalah pembiayaan.

Operasi perniagaan yang dianggap tidak penting dipaksa tutup sepanjang PKP berjalan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

Bagi isi rumah pula, kerajaan memberikan bantuan wang tunai sekali bagi sebanyak RM1,600 untuk mereka yang bergaji kurang RM4,000 sebulan dan RM1,000 untuk keluarga berpendapatan antara RM4,000 dan RM8,000 sebulan.

Yow Boon Choon yang mengetuai sebuah lagi kumpulan peniaga, berkata mereka sangat menghargai bantuan kerajaan itu.

“Ramai antara kami tidak dibenarkan beroperasi kerana pasar malam ditutup. Jadi kami tiada pendapatan,” kata Yow, presiden Persekutuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia.

“Kami gembira dengan pengumuman kerajaan untuk bantuan wang tunai bagi keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerana ramai antara kami hilang sumber pendapatan,” katanya.

Dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19, Malaysia kini diletakkan dalam PKP sehingga 14 April depan.

Hanya perniagaan dan perkhidmatan penting seperti utiliti, pengeluaran makanan, kesihatan dan pengangkutan dibenarkan beroperasi sepanjang PKP dilaksanakan.

Kumpulan peniaga kecil adalah yang paling teruk terjejas kerana PKP memaksa mereka menutup operasi sedangkan pendapatan mereka bergantung kepada jualan harian. – 29 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen