Balada orang-orang lapar di tengah Covid-19


Zainal Rashid Ahmad

“RUMAH kamu ada nasi lebih tak? Minta tapau. Nanti aku cari motor kawan, aku pergi rumah kau ambil nasi. Adik-adik aku kelaparan.” 

Itu antara mesej WhatsApp yang diterima anak seorang kenalan berusia 16 tahun. 

“Kami di Blok 9… kawan sekolah anak saya di Blok 16. Aduh… kesian. Seminggu berkurung keluarga putus duit dan mula kelaparan,” kata Nazirul Hakim. 

Ini kisah biasa yang kini menular secara senyap di pelbagai aplikasi mesej. Virus kelaparan yang menyebabkan kanak-kanak mula berdepan krisis makanan. 

Berita begini hanya hidup di media sosial. Media massa sedang memikul tanggungjawab lain yang lebih besar. 

Buat masa ini, berita “kelaparan bukan keutamaan”. 

Ancaman Covid-19 menyebabkan wartawan dan editor/penerbit sibuk menyusun laporan angka jangkitan dan kematian. Tanpa angka “tiadalah nilai berita”. 

Ditambah pula selain isu angka hidup dan mati mangsa Covid-19, media massa kini obses pada isu bencana ekonomi yang sedang dan bakal melanda. 

Ekonomi dunia dijangka merudum secara domino. Apa lagi hampir semua negara maju G20, menjadi lubuk bencana Covid-19. 

Bom jangka virus pembunuh ini sudah menjangkiti lebih 500 ribu mangsa. Angka kematian melebihi 25 ribu di lebih 180 negara. Bom jangka kedua bakal menyusul; kesan domino kemeruduman ekonomi. 

Virus ekonomi dijangka lebih “kejam” sifatnya. 

Media massa tempatan turut menfokuskan laporan JP Morgan yang disiarkan minggu lalu. Agensi penarafan global itu melaporkan, 2.8 juta pekerja di negara ini bakal kehilangan kerjaya akibat kemuncupan ekonomi. Itu semua angka yang menjadi fakta utama. 

Covid-19 sama ada isu jangkitan atau jumlah kematian, semuanya soal angka dan angka. 

Impak ekonomi juga soal angka. Sebut saja soal angka, media massa akan obses mengenainya. 

Mulai Jumaat lalu, media massa dipenuhi muatan berita Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang bernilai RM250 bilion. Rakyat heboh dan seronok menerima pelbagai manfaat. 

Sebagai wartawan, saya melihat jauh ke depan. Kebimbangan utama tetap mengenai realiti sebenar. 

Apa akan terjadi tiga bulan lagi? 

Walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej RM250 bilion, ia tidak menjamin nasib 2.8 juta pekerja yang diunjurkan oleh JP Morgan. 

Ingat, JP Morgan memberi amaran 2.8 juta rakyat Malaysia diancam kehilangan pekerjaan! 

Adakala semuanya terasa ironis 

Banyak juga berita yang dilaporkan terasa ironis. Wartawan dan editor/penerbit masih sibuk melaporkan berita “elakkan pembelian panik”. Media massa bergelut meyakinkan rakyat: bekalan makanan kekal stabil. 

Berita ini cuba menenangkan lebih lapan juta isi rumah agar tidak panik. Malah, jangan terlalu taasub pada nafsu perut yang takutkan kelaparan. Faktanya: bekalan makanan ada di mana-mana! 

Sedikit sarkastik, saya ingin mengingatkan: lambakan makanan di pasaran mungkin tidak bererti apa-apa. 

Media massa jangan lupa menghidu berita mengenai rakyat miskin yang kini mula kelaparan. 

Di media sosial, kes-kes kelaparan sudah mula menular. Ratusan perkongsian diviralkan mengenai kejadian tragis. Suara dan kisah kelaparan. 

Banyak isi rumah terjejas apabila Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mei lalu. Malah, arahan ini akan kekal hingga 14 April nanti. 

12 hari selepas berkurung, pendapatan isi rumah yang bergantung pada kerja upah harian mulai terjejas teruk. 

Harus diingat, ketika keadaan aman pun, lebih 18,000 isi rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur gagal mendapatkan akses makanan tiga kali sehari. 

Malah, lebih 10 ribu kanak-kanak PPR mengalami masalah nutrisi akibat kekurangan makanan. Realiti ini boleh disemak dalam Laporan Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) pada Februari 2018. 

Tahniah kepada “Abang Polis” 

Tindakan dua anggota polis di Johor pada Rabu lalu satu perbuatan terpuji. Koperal Mohd Hisham Mustafa dan Konstabel Mudrikah Nazirul Nordin membantu keluarga yang kelaparan di Taman Tampoi Indah, Johor Baharu. 

Dua anggota polis ini membantu pasangan yang kehilangan pendapatan berikutan PKP. Pastinya kisah pasangan ini menangis di taman permainan bukan isu terpencil. Ia kisah tular yang mewakili ribuan realiti yang masih tersembunyi. 

Puluhan ribu isi rumah lain kini mengalami nasib yang sama. Cuma, apakah kita mampu dan mahu mendengarnya? 

“Ini masanya AJK masjid dan surau peka. Ini masanya wang derma masjid digunakan untuk membantu qariah yang miskin,” kata Ali Ishak. 

Sebagai penghuni flat di PPR Cheras, Ali memahami nasib keluarga miskin yang mendiami PPR Sri Sabah, Sri Pulai Pinang, Sri Johor dan Sri Melaka. 

Ali memahami suara kelaparan yang merentas 17 kawasan PPR ibu kota. Malah, kelaparan juga menyusup masuk ke 2.8 juta isi rumah B40 di seluruh negara. 

Ali berkongsi pengalamannya. “Banyak kawan-kawan PPR bekerja rencam dan hidup dengan upah harian. Sekarang ramai yang mula meminta bantuan. 

“Selepas seminggu PKP, mereka putus wang,” katanya. 

Ali bimbang kerana tempoh PKP masih panjang. 

“Mereka sekarang pun tidak mampu membeli makanan,” katanya. 

Kes-kes kelaparan kini wabak senyap di sebalik jangkitan Covid-19. 

Apa pun, masyarakat kiasu tidak akan mempedulikannya. 

Mereka hanya berharap keadaan segara pulih dan segala kepentingan peribadi kembali seperti sediakala. 

Bagi kiasu, yang mati dan yang dijangkiti atau yang kelaparan – anggap saja itu kehendak Tuhan. 

Youtuber nombor satu negara, Syahmi Sazli turut melaporkan isu kelaparan di sekitar Kota Bharu. 

Muat naik video Shazmi mengedarkan bantuan makanan di sekitar kawasan miskin, jelas membuktikan krisis kelaparan rakyat perlukan perhatian. 

Temubual Shazmi dengan penerima bantuan, semuanya bekerja dengan upah harian. 

10 hari tanpa kerja, isi dapur dan meja makan tidak mampu diletakkan hidangan. Anak-anak terpaksa berlapar. 

Masjid tutup tapi amal baik jangan mati 

“Harapan kami agar masjid dan surau menghulurkan bantuan. Walaupun rumah suci ditutup, AJK masih boleh menguruskan nasib kariah mereka,” kata aktivis sosial, Anuar Khosri. 

Serunya, AJK masjid atau surau harus memikul tanggungjawab membantu anak kariah. 

“Masjid ada dana dan dalam keadaan darurat sekarang, AJK perlu berusaha membantu. Jangan biarkan anak kariah menderita kelaparan,” katanya. 

Anuar teraspirasi dengan usaha Daud Abdul Hamid yang membuka kaunter bantuan di Masjid Rinching, Semenyih. 

Bekas pesara tentera itu menggunakan kawasan parkir masjid bagi menyalurkan bantuan beras, susu, biskut, gula dan garam. 

Daud mengutip derma melalui jiran-jiran dan menyediakan barangan kering untuk keluarga miskin yang terjejas akibat PKP. 

Semua kisah yang dikongsikan ini hanya secebis realiti. Malah, bukan rahsia pun. 

Kita semua tahu kebuluran sudah bermula di rumah warga miskin. 

Persoalan sekarang ialah kepedulian kita. 

Apakah setelah rumah ibadat dan masjid ditutup, bererti kebaikan sudah mati! β€“ 29 Mac, 2020.
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen