Syukur, tapi kalau sambung perintah, bantuan tidak cukup, kata B40


Zaim Ibrahim

Seluruh negara kini diletakkan dalam perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

GERAI nasi campur Sudin Mat Sidek di Machang Bubok di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tidak dibuka sejak peringkat kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu untuk melawan Covid-19 daripada merebak.

Awalnya Sudin ingat boleh bertahan tidak berniaga dua minggu tetapi dari hari ke hari beliau mula merasakan peritnya setelah perintah dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Sudin juga resah mengenangkan poket kering tidak boleh berniaga dan hilang pendapatan untuk menampung isteri dan dua anak, kalau kerajaan menyambung lebih lama lagi perintah itu sehingga selepas 14 April.

Bukan Sudin sahaja yang seperti itu. Ada berpuluh dan beratus ribu orang yang senasib dengannya – mereka yang dikelaskan sebagai golongan berpendapatan rendah atau B40 – yang kini hilang punca pendapatan.

Bagi mereka, pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai bantuan untuk rakyat pada Jumaat adalah berita gembira, namun jumlah yang bakal mereka terima tidak memadai.

Di bawah pakej rangsangan ekonomi itu, Sudin akan menerima RM1,600 pada April dan Mei. Beliau gembira namun khuatir bagaimana untuk meneruskan hidup kalau tidak boleh berniaga.

“Saya sedikit lega dengan pengumuman Perdana Menteri atas bantuan sebanyak RM1600.

“Cuma, sejak dari awal saya tiada sebarang pendapatan dan masih bimbang jika PKP terus dilanjutkan lagi. Wang itu tidak mampu bertahan kerana saya juga masih ada tanggungan lain.

“Saya pun tidak berani untuk berniaga sekarang dan jumlah wang itu, tidak dapat atasi pendapatan saya yang terjejas sejak seminggu lalu,” jelas beliau kepada The Malaysian Insight.

Sudin menjelaskan, beliau memperuntukkan kos operasi dalam RM250 sehari dan pendapatan bersihnya dalam sehari antara RM80 hingga RM100 sahaja.

Malah, kadang-kadang hasil jualannya tidak mampu menampung kos operasi.

PKP yang dilaksanakan menyukarkan semua pihak tetapi perlu dibuat untuk mengekang penularan wabak Covid-19.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

“Berbanding bantuan ini, saya lebih melihat masa depan selepas wabak Covid 19. Saya bimbang juga orang takut keluar dan kurang makan di kedai, sekaligus menyebabkan warung saya orang masih tidak datang selepas tempoh PKP tamat April depan,” tambahnya.

Seorang pemandu lori dari PPR Kerinchi, di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Azhar Ahmad juga senada, apabila beliau kini dipaksa bercuti tanpa gaji.

“Pak cik pencen askar. Sekarang kerja bawa lori hantar barang. Bila PKP ini, pak cik kena cuti tanpa gaji sebab hanya bekerja kontrak dengan sehari dibayar RM60.

“Bantuan RM1,600 itu memadai tetapi bukan untuk tempoh yang lama, sebab pak cik tanggung isteri yang kencing manis dan jaga cucu yang masih bersekolah,” katanya.

Beliau turut melahirkan kesyukurannya apabila Muhyiddin mengumumkan pengecualian bayaran sewa bagi penduduk di rumah PPR dan perumahan awam.

“Lega. Bagi orang lain, RM100 bayar sewa adalah murah tetapi tidak bagi pak cik.

“Kami bukan pendapatan tinggi, boleh dikategorikan sebagai miskin bandar dengan gaji bawah RM3,000,” katanya.

Namun Azhar tetap risau kalau PKP dilanjutkan.

“Bagaimana dengan kerja? Bagaimana nak tampung perbelanjaan rumah? Hati ini  masih risau, kalau wabak Covid 19 masih berlarutan,” tambahnya.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) penduduk PPR dan perumahan awal dikecualikan membayar sewa rumah selama enam bulan, melibatkan kos RM3 juta yang ditanggung kerajaan.

Kerajaan juga memberikan bantuan tunai antara RM500 sehingga RM1,600 bagi April dan Mei, mengikut pendapatan isi rumah yang turut menrangkumi golongan kelas menengah rendah.

Isi rumah bergaji rendah dan sederhana mula merasakan peritnya PKP.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

Noraini Mohd Noor, 42, seorang penduduk rumah PPR Ampang Jajar di Permatang Pauh, Pulau Pinang berkata, pengecualian bayaran sewa selama enam bulan adalah bernilai baginya.

Beliau yang hanya bekerja sebagai tukang cuci, hanya meraih pendapatan RM800 sebulan.

“Saya dan suami bekerja sebagai tukang cuci dan pendapatan yang kami dapat sebulan hanya RM1,600. Kami pula ada tujuh orang anak, dan untuk tampung kehidupan, saya berniaga makan ringan di kawasan terdekat.

“Namun, sejak PKP dilaksanakan, saya tidak dapat berniaga dan hal ini menjejaskan ekonomi keluarga kami. Pengumuman Perdana Menteri ini, sangat diperlukan dan penangguhan bayaran pinjaman individu daripada bank, bantu pulihkan pendapatan kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar tempoh PKP tidak dilanjutkan kerana beliau tetap mahu bekerja bagi menyara keluarganya.

“Wang tunai RM1600 digunakan untuk dua bulan, jadi kita kena banyak berjimat. Saya tidak rasa wang itu boleh digunakan untuk tempoh yang lama,” tambah beliau.

PKP yang bermula 18 Mac lepas sepatutnya berakhir pada 31 Mac akan datang. Namun, tempoh itu dilanjutkan sehingga 14 April, bagi mengekang penularan virus itu yang dilihat masih belum reda.

Setakat semalam, 2,320 kes positif Covid-19 disahkan di seluruh Malaysia, dengan 73 orang di unit rawatan rapi dan 54 orang daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat semalam juga 27 orang meninggal dunia di negara ini akibat jangkitan Covid-19. – 29 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen