Pusat beli-belah di seluruh negara dijangka rugi RM2 bilion, kata persatuan


Noel Achariam

Keadaan pusat membeli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang lengang selepas PKP dikuatkuasakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2020.

PUSAT membeli-belah di seluruh negara menjangkakan kerugian melebihi RM2 bilion dengan mengambil kira tempoh pemulihan dan kuasa membeli pelanggan, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, kata Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia.

Presidennya, Teo Chiang Kok memberitahu The Malaysian Insight, proses pemulihan dan jumlah pengunjung yang akan kembali ke tempat sedemikian akan mengambil masa lama.

“Dengan tempoh PKP yang dilanjutan, kerugian kami akan melebihi RM2 bilion.

“Selepas PKP, kita jangka jumlah pengunjung akan sedikit kerana pembeli akan kurangkan perbelanjaan mereka.

“Mereka akan berhati-hati dalam perbelanjaan kerana ketidakpastian dalam pekerjaan dan faktor lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kerajaan menguatkuasakan PKP pada 18 Mac untuk mengawal pandemik Covid-19.

Ia pada asalnya hanya dirancang untuk diadakan selama dua minggu namun dengan peningkatan jumlah kes dan untuk mengawal pandemik, PKP kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Ramai yang percaya kerajaan akan melanjutkan tempoh PKP selepas 14 April.

Di bawah PKP, pusat membeli-belah diarahkan tutup, kecuali pasar raya untuk membolehkan orang ramai membeli barangan keperluan asas seperti makanan.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan pakej rangsangan ekonomi RM250 bilion untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19.

Beliau berkata bahawa “tidak ada rakyat yang akan ditinggalkan” kerana keutamaan kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19.

Daripada RM250 bilion, RM128 bilion akan dibelanjakan untuk kebajikan manakala RM100 bilion lagi telah diperuntukkan untuk perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Teo berkata selain daripada keadaan semasa, industri membeli-belah di Malaysia mengalami kesan akibat kekurangan kuasa membeli pengunjung dalam tempoh dua tahun lalu.

Beliau berkata ini disebabkan oleh banyak faktor, seperti kenaikan kos sara hidup yang mengakibatkan pendapatan boleh guna menjadi lebih rendah.

“Terdapat juga ketidakpastian politik baru-baru ini, ekonomi global yang lemah, ringgit lemah, peningkatan kos menjalankan perniagaan, dan sekarang Covid-19, yang menyebabkan kerugian kepada industri pelancongan pada kadar 35% perbelanjaan pelancongan.

“Ini juga adalah akibat susulan PKP yang berjalan selama sebulan, menjadikan ia sebagai sebuah bencana ribut yang dahsyat.” – 29 Mac, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen