SYARIKAT pengendali kereta api Jepun mengeluarkan permohonan maaf kerana menimbulkan “ketidaksenangan melampau” selepas sebuah kereta apinya bertolak 20 saat lebih awal, mengejutkan banyak pihak termasuk di negara itu yang memang dikenali dengan adab sopan dan menepati masa.
Tsukuba Express menghubungkan Tokyo dengan kawasan pinggir bandar kota itu bertolak dari Stesyen Minami Nagareyama pada jam 9:44:20 berbanding jadual sepatutnya pada 9:44:40.
“Kami memohon maaf kerana menyebabkan ketidaksenangan kepada pengguna,” kata syarikat Tsukuba Express.
“Tiada aduan daripada pengguna berkenaan kejadian itu,” kata syarikat itu menambah yang tiada sesiapa tertinggal kereta api.
Perkhidmatan kereta api Jepun termasuklah kereta api lajunya, Shinkansen terkenal di seluruh dunia kerana ketepatan masanya.
Malah sedikit kelewatan boleh menyebabkan penjaga kereta api memohon maaf kepada pelanggan yang sesi meminta maaf berjalan lebih panjang daripada kelewatan itu sendiri.
Ratusan gerabak kereta api yang melalui laluan sama setiap beberapa minit untuk menampung jumlah pengguna yang besar menyebabkan sedikit kelewatan boleh menyesakkan seluruh jaringan kereta api.
Stesyen di Tokyo menggaji belasan pekerja- yang dikenali dengan sarung tangan putih mereka- bagi memastikan kereta api bergerak menepati masa dan menguruskan kesesakan waktu puncak.
Kereta api laju di Jepun juga dikenali kerana perkhidmatan pelanggan mereka, termasuklah menawarkan rawatan urutan kaki untuk pelanggan bagi mengurangkan kepenatan berjalan.
Syarikat kereta api itu berkata mereka “terkejut” dengan tumpuan diberikan mengatakan: “Kami pernah mengeluarkan permohonan maaf seperti ini dalam kejadian pelepasan lebih awal sebelum ini.”
Jurucakap syarikat memberitahu AFP yang permohonan maaf itu dikeluarkan kerana prosedur keselamatan tidak dipatuhi.
“Apa yang penting bukanlah 20 saat…Isunya adalah prosedur rasmi kami sepatutnya begini: Loceng dibunyikan 15 saat sebelum berlepas, diikuti dengan susulan meminta pelanggan berhati-hati kerana pintu akan ditutup, dan kemudian pintu ditutup,” katanya.
Kecuaian pengurusan boleh menyebabkan masalah keselamatan di masa depan, kata jurucakap itu: “Ada ketika pengguna cuba lompat masuk gerabak…mereka boleh terperangkap di pintu jika pintu ditutup tanpa amaran,” katanya lagi. – AFP, 17 November, 2017.
Komen