.jpg)
BADAN Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) memantau rapat perkembangan keadaan krisis wabak Covid 19 dan keterjaminan bekalan makanan negara (food security). Telah lama kami nyatakan bahawa tindakan untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan sebenarnya perlu bermula sejak awal lagi sewaktu keadaan aman.
Namun masih belum terlambat untuk kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melakukan tindakan segera bagi menangani kejadian yang tidak diingini akibat daripada krisis bekalan makanan ketika pandemik seperti ini.
Sehingga 25 Mac 2020 kita sudah dapat lihat beberapa negara melaksanakan tindakan melindungi keterjaminan bekalan makanan dalam negara masing-masing dengan melaksanakan arahan pemberhentian export untuk sementara misalnya Vietnam (beras), Khazakhstan (tepung gandum) dan Serbia (minyak masak dan barangan keperluan harian). Russia juga sedang mempertimbangkan larangan eksport bergantung kepada perkembangan semasa.
Kejadian krisis bekalan beras dunia pada tahun 1974 dan 2008 mempunyai punca yang sama iaitu negara pengeluar mengenakan larangan eksport kerana berlaku kekurangan pengeluaran akibat cuaca dan spekulasi harga.
Dalam keadaan krisis, bekalan beras simpanan negara dan bekalan beras di pasaran seharusnya dapat bertahan selama tiga bulan dan adalah memadai untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Namun, jika didapati jumlah sebenar stok tidak mencukupi atau krisis ini akan berpanjangan, pihak kerajaan mesti segera melaksanakan misi membawa masuk bekalan beras melalui saluran antara kerajaan dan kerajaan untuk melangkau larangan eksport atau membawa masuk bekalan dari negara lain.
Isu ini sama atau lebih kritikal dengan isu kekurangan topeng muka medikal apabila kerajaan sendiri membeli secara terus dari China.
MKN tidak boleh terlalu bergantung pada pihak swasta kerana pengalaman krisis bekalan beras tahun 2008 membuktikan kelemahan pihak swasta (Bernas) untuk mewakili kerajaan dalam rundingan membawa masuk bekalan beras menyebabkan kerajaan perlu masuk campur pada saat akhir dan menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit.
Statistik Kementerian Pertanian menunjukkan seorang rakyat Malaysia akan menggunakan 80 kg beras setahun. Kami berpendapat jumlah simpanan ini mesti ditambah agar dapat bertahan selama 6 bulan hingga setahun lebih-lebih lagi dengan ramalan kemelesetan ekonomi pasca Covid 19 di seluruh dunia.
Faktor lain yang menjamin jaminan bekalan makanan kepada semua rakyat adalah pengedaran dan logistik beras yang adil. Ketika ini bekalan beras diedarkan mengikut permintaan pasaran terutamanya ke kawasan bandar. Andai kata krisis makanan berlaku, MKN mesti memastikan bekalan makanan diedarkan mengikut keperluan setiap daerah, mukim/bandar dan kampung/taman perumahan termasuklah ke kawasan pendalaman Orang Asli serta Sabah dan Sarawak.
Jika tidak, pembelian panik akan menyebabkan bekalan dibekalkan berlebihan di kawasan bandar. Kejadian pembelian pukal oleh individu tidak bertanggungjawab telahpun mula dilihat berlaku di lembah Klang.
Ketika tempoh krisis ini, harga juga perlu dikawal terutamanya beras import yang sekarang ini tidak ada harga syiling. Harga beras tempatan perlu dikekalkan sebanyak RM2.60 sekilo yang mana masih memadai melainkan jika ekonomi keluarga didapati benar-benar teruk terjejas.
Tidak ada mekanisme yang lebih baik bagi menghadapi krisis bekalan makanan di masa akan datang melainkan pelaksanaan polisi 100% tahap sara diri (SSL). Kerajaan mesti berhenti melayan industri makanan terutama beras sebagai industri komoditi perdagangan di mana ketika ini target SSL diletakkan pada 75% hingga 80% bagi membuka ruang pertukaran perdagangan komoditi dengan kelapa sawit dan lain-lain.
Bermula dari musim menanam padi akan datang pada hujung bulan April, kerajaan mesti memikirkan insentif dan projek-projek baharu untuk menambah pengeluaran beras tempatan kepada 100% SSL.
Oleh itu kerajaan perlu mengambil iktibar dari pandemik Covid 19 yang tidak diduga ini. Kerajaan perlu serius mempertimbangkan cadangan penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dengan fungsi baharu iaitu sebagai ‘gate keeper’ bekalan beras import dan juga menyelaras aktiviti industri jaminan bekalan makanan ruji negara.
Ini kerana konflik kepentingan pihak swasta persendirian untuk memastikan syarikat sentiasa untung tidak memungkinkan objektif ini tercapai. – 28 Mac, 2020.
*Nur Fitri Amir Muhammad adalah penyelaras Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras Negara (Padi Rescue).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen