Pendengaran kes sivil boleh diteruskan ketika PKP


Bede Hong

Pendengaran kes sivil boleh diteruskan sepanjang perintah kawalan pergerakan berlangsung. – Gambar EPA, 28 Mac, 2020.

PENDENGARAN dalam talian kes sivil dilanjutkan selaras dengan pelanjutan perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April, walaupun semua perbicaraan kes jenayah ditangguhkan sepanjang tempoh itu.

Notis dikeluarkan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menyatakan pelbagai butiran mengenai kaedah pelaksanaan pendengaran dalam talian itu.

Semalam, perkara itu diedarkan dalam pekeliling kepada semua peguam di Semenanjung dikeluarkan Setiausaha Badan Peguam A G Kalidas, semalam.

“Ini hanya untuk pendengaran sivil dan bukannya perbicaraan,” kata peguam sivil dan jenayah Lee Shee Pin yang berpusat di Kuala Lumpur.

“Perbicaraan jenayah tidak boleh diadakan dalam talian kerana Kanun Prosedur Jenayah yang memerlukan tertuduh berada di situ ketika perbicaraan berlangsung.”

Lee berkata kes sivil boleh diteruskan kerana banyak penghujahan boleh diteruskan menerusi penghantaran penghujahan bertulis.

“Jika itu adalah arahan mahkamah dan kedua-dua pihak bersetuju, tidak ada kesalahan. Seperti menggunakan e-mail sebagai perkhidmatan (mahkamah) yang bersesuaian- selagi mana kedua-dua pihak bersetuju, maka ia sah di sisi undang-undang.”

Semua perbicaraan di seluruh negara ditangguhkan sejak 18 Mac apabila PKP mula dikuatkuasakan.

Perbicaraan kes berprofil tinggi seperti kes 1MDB Najib Razak yang sepatutnya disambung pada 19 Mac sudah ditangguhkan dan dijangka disambung semula pada pertengahan April.

Perbicaraan lain yang ditangguhkan termasuklah kes rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Wujud kebimbangan tentang kesediaan mahkamah mengadakan pendengaran dalam talian kerana ada pihak percaya kes itu boleh menunggu sehingga PKP ditamatkan.

“Saya berpendapat itu tindakan tergesa-gesa diambil kehakiman,” kata Yee Fan Lai, seorang peguam litigasi sivil.

“Pekeliling itu menyatakan secara khusus yang pendengaran mahkamah dalam talian (OCH) terpakai untuk kes yang memerlukan penghakiman segera. Bagaimanapun, tidak ada makna jelas yang disediakan apakah jenis situasi yang dianggap memerlukan penghakiman segera.”

Peguam juga tidak pasti sama ada kebenaran diperlukan daripada pihak lawan untuk mengadakan pendengaran dalam talian dan meragui sama ada peguam bersedia melakukannya kerana tiada latihan diberikan kepada mereka untuk menggunakan perkhidmatan disediakan.

“Tidak ada petunjuk jelas tentang perisian diperlukan daripada kami. Malah, ramai antara kami (peguam) tidak pasti platform manakah yang akan digunakan untuk tujuan OCH.” – 28 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen