.jpg)
ISTILAH zon selesa atau ‘comfort zone’ popular dalam kalangan orang ramai. Istilah menunjuk kepada keadaan, situasi dan ruang atau wilayah yang dirasa mendatangkan rasa nyaman, aman, tenteram, dan tidak mendatangkan kesusahan atau bahaya sehingga membuatkan seseorang itu enggan meninggalkannya.
Namun sesungguhnya, keselesaan itu belum tentu tenteram sehingga dapat saja menipu dan membataskan terbukanya peluang untuk memperolehi kebahagiaan dan keamanan yang lebih terjamin.
Sebagaimana burung dalam sangkar, ia mungkin terasa selesa tetapi di luar sangkar terbentang kebun, hutan, dan udara bebas yang disediakan Tuhan, pemimpin dan pentadbir semesta alam.
Terdapat beragam zon selesa yang dipagari oleh seseorang dan pintunya ditutup rapat-rapat agar tidak diganggu oleh orang lain, atau masuk idea-idea baharu yang mengelisahkan. Misalnya, seseorang yang telah lama berkhidmat dalam pasukan beruniform lengkap dengan pangkatnya apabila sudah bersara akan berasa tidak selesa berjalan di tempat awam, gelisah dan seperti kehilangan sesuatu.
Seseorang yang sudah puluhan tahun menekuni sesebuah kerjaya tentu merasa tidak selesa untuk memasuki atau berpindah ke kerjaya baharu, dengan situasi baru atau daripada alam pekerjaan ke dunia pasca persaraan.
Seseorang yang dalam lingkungan sosialnya biasanya dihormati, disanjung dan dimuliakan akan menjadi canggung duduk di suatu zon yang janggal baginya.
Demikianlah zon selesa itu dapat terbentuk oleh kebiasaan dan pemahaman yang sudah mapan, ini jugalah kaitan dengan kelompok, pergaulan, rakan sekerja di mana seseorang akan merasa nyaman berada dalam situasi selesa baginya.
Bagaimana jika situasi selesa itu sudah digegar dan digugatkan oleh suatu kecemasan atau malapetaka seperti penularan virus Covid-19? Ini dipermasalahkan oleh situasi baharu iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April.
Sejak PKP diperkenalkan zon selesa kita telah dirampas, seolah-olah sudah kehilangan segala kenyamanan itu. Ucapan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yasin iaitu “just stay at home” atau “duduk di rumah” teramat berat untuk diterima dan merupakan kejutan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.
Ungkapan ‘duduk di rumah’ merupakan suatu penyeksaan bagi sebahagian masyarakat di bandar.
Bayangkan sejak PKP diperkenalkan berapa ramai yang engkar dan degil merasakan zon selesa mereka telah dirampas. Zon selesa untuk melepak di warung atau restoran mamak, zon selesa berpacaran, kerja di pejabat, kebiasaan kerja luar, berniaga di gerai, warung, dan pelbagai kegiatan perniagaan dan khidmat sosial yang lain; hanya dirumuskan dengan duduk di rumah.
Walaupun hanya sementara dan bagi tujuan kebaikan demi memutus rantaian penularan tetapi bagi rakyat ia bagaikan telah menghilangkan zon selesa mereka.
Bagi sesetengah rakyat Malaysia, duduk di rumah merupakan zon tidak selesa, bayangkan duduk di rumah selama 24 jam bagi suatu jangka masa lebih dari sebulan.
Oleh itu dalam pencarian zon selesa itulah ramai yang tidak pedulikan PKP dengan keluar rumah seperti biasa, bersenam, masih ronda-ronda, makan di luar, balik kampung dan sebagainya. Mereka bersikap degil dan memberontak. Atas alasan inilah PKP dilanjutkan dengan bantuan pihak tentera.
Zon selesa mereka telah ditiadakan buat sementara waktu dan mereka harus menyesuaikan diri dengan zon selesa baharu dengan duduk di rumah, mencari zon keselesaan di rumah misalnya berkerja dari rumah, membuat kegiatan-kegiatan yang menghidup ruang bagi zon keselasaan baharu.
Ada yang berhadapan dengan penyakit psikologi, terasa tertekan, naik menjerit, ingin saja melanggar PKP, tak sabar menanti bilakah ia akan berakhir sehingga menyumpah-nyumpah puak tabligh.
Ia mungkin mereka tidak menerima takdir yang telah ditetapkan, telah ditabiatkan dengan zon selasa yang mereka bernafas selama ini. Mereka telah lupa akan kesusahan dalam hidup dan ia dialami oleh seluruh dunia. Zon selesa itu telah menjadikan mereka bersifat individulistik atau pentingkan diri sendiri.
Kita akan berhadapan dengan banyak kehilangan zon selesa lama dalam berhadapan dengan zon selesa baharu, misalnya bagi golongan pendapatan sederhana dan rendah akan berhadapan dengan masalah kewangan akibat perbelanjaan yang meningkat, kehilangan mata pencarian, kerugian dalam perniagaan, catuan makanan di rumah dan penjimatan, harus mengstrukturkan pinjaman, mungkin lebih dekat dengan keluarga, lebih banyak berkomunikasi dengan anak bini, zon selesa baru – suami membeli barang dapur.
Jika dengan zon selesa lama kita mengabaikan kewajipan ibadat kepada Tuhan, lupa akan doa dan solat misalnya, zon selesa baharu ini akan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa dan membuat banyak renungan mengenai penularan Covid-19 dan kehidupan kita selama ini.
Zon selersa baharu akan mengambil masa untuk diadaptasikan dalam waktu pasca Covid-19, sudah tentu ada yang degil tidak belajar daripada Covid-19 dan ingin berbalik kepada zon selesa lama.– 28 Mac, 2020.
* Ismail Hashim Yahaya, pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).
Komen