Sarawak sedia berdepan kemungkinan buruk 


Desmond Davidson

Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah (kiri) memeriksa alat pengimbas haba yang diletakkan di bangunan Wisma Bapa Malaysia, di Kuching hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Mac, 2020.

SARAWAK bersedia untuk berdepan kemungkinan terburuk berhubung Covid-19 selepas 15 jangkitan baharu direkodkan hari ini, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah.

Kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan empat buah hospital di Kuching   –  Normah Medical Specialist Centre (NMSC) di Petrajaya, Pusat Perubatan Timberland Medical, KPJ Kuching Specialist Centre dan Pusat Perubatan Borneo (BMC) – bagi membincangkan mengenai pengambilan pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana kekurangan katil.

“Kita tidak tahu, Jika kamu lihat di negara lain, terdapat keperluan tinggi untuk katil,” kata Uggah pada sidang media hari ini.

“Kita sedang bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan buruk.”

Sarawak menetapkan empat hospital kerajaan di negeri itu sebagai pusat rawatan Covid-19.

Hospital terlibat adalah HUS yang memiliki 1,003 katil di Kuching, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.

Uggah yang mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, sekiranya HUS kekurangan katil kerana peningkatan jumlah pesakit Covid-19, perancangan sedia ada adalah dengan menghantar pesakit bukan Covid-19 ke Pusat Jantung HUS di Samarahan dan hospital daerah di Serian dan Bau.

“Namun sekiranya tiga hospital ini tidak mencukupi, hospital swasta perlu sediakan katil kepada pesakit bukan Covid-19.

“Dasar kami adalah bagi memastikan pesakit mendapat rawatan dan penjagaan kesihatan terbaik.”

Mengenai siapa yang akan membiayai bil perubatan di hospital swasta, Uggah berkata: “Sekiranya perlu, ia akan dibayar kerajaan negeri.” – 27 Mac, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen