PESURUHJAYA Polis Sabah, Zaini Jass berkata seramai 13 individu ditahan di seluruh Sabah kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Ops Covid-19 sehingga semalam.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai lapan individu ditahan ketika memancing di Kudat, semalam.
“Jumlah selebihnya ditahan di Kota Kinabalu seramai tiga orang manakala Kunak dan Kinabatangan masing-masing satu tangkapan.” kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Op Covid-19 di perairan Pulau Gaya, di Kota Kinabalu, pagi tadi.
Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 33 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya lagi.
Beliau berkata dua individu yang ditahan sudah didakwa di mahkamah semalam.
“Tangkapan 13 orang ini nampak kecil tetapi pada saya tangkapan ini kita mesti lakukan untuk memberi kesedaran kepada yang lain supaya jangan memandang mudah arahan PKP ini. Sekarang, kita lebih ke hadapan apabila nasihat polis beri masih diingkar, tindakan untuk menangkap mereka akan dilakukan,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai, tinjauan Op Covid-19 di Pulau Gaya pagi tadi, Zaini berkata tahap kesedaran sangat baik kerana suasana di kawasan pulau itu lengang.
“Saya membuat tinjauan ke Pulau Gaya berhubung persediaan yang akan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selama tiga hari bermula Sabtu ini bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap penduduk di Kampung Lok Urai yang mana penduduknya seramai 4,000 orang yang akan dibantu oleh pihak polis.
Alhamdulillah, tahap kesedaran sangat cantik. Namun ketika saya menghampiri ke perkampungan tadi, ada pergerakan kerana di atas air, jadi kalau nak bergerak itu perlu menaiki bot. Polis dah nasihatkan mereka terus kekal berada di rumah,” katanya. – Bernama, 27 Mac, 2020.
Komen