PENULARAN pandemik Covid-19 sebenarnya mengundang bahaya yang jauh lebih besar terhadap ekonomi, industri dan guna tenaga berbanding risiko kesihatan kepada orang awam.
Jika risiko terhadap kesihatan dijangka hampir 6,000 pesakit tetapi risiko terhadap guna tenaga hampir 2.4 juta daripada 15.7 juta pekerja di Malaysia akan hilang pekerjaan menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Pakar ekonomi menjangkakan lebih ramai pekerja dan majikan berdepan risiko muflis berbanding maut di mana lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan kesan langsung seperti penguncupan ekonomi sebanyak 2.9%.
Ia juga akan menyebabkan kerugian pendapatan sekurang-kurangnya RM56 bilion, pengurangan pendapatan isi rumah sebanyak 12% iaitu kehilangan pendapatan keluarga kira-kira RM95 bilion dan kadar pengangguran akan meningkat sehingga dua angka.
Sungguhpun dunia hampir menemui penawar Covid-19 dan pengekangan melalui pengasingan PKP tetapi trauma ekonomi, industri dan pasaran akan berlarutan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.
Menginsafi marabahaya besar ini tanpa menafikan ancaman kepada nyawa rakyat Malaysia, saya menyarankan agar kerajaan menambah baik Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) dengan mengambil pendekatan lebih inklusif, agresif dan proaktif bagi menahan kesan pandemik Covid-19 terhadap industri dan guna tenaga seperti berikut:
1. Meningkatkan kadar pengeluaran Akaun 2 KWSP secara bulanan kepada pekerja yang dicutikan tanpa gaji di bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mana akan menerima bantuan RM600 sebulan untuk tempoh maksimum selama 6 bulan.
Pengeluaran KWSP akan menambah kadar perolehan bantuan sementara sehingga mencapai 50% daripada gaji semasa atau minimum RM500 mengikut kadar gaji minimum pekerja.
Ini menjadikan seseorang pekerja yang bergaji RM3,000 yang dicutikan tanpa gaji akan menerima RM600 daripada Perkeso dan RM900 lagi daripada pengeluaran akaun KWSP.
2. Menambah kadar Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 lagi untuk setiap kategori pendapatan isi rumah termasuk bujang dan Orang Kurang Upaya (OKU) (kadar sebelumnya RM1,000/RM750/RM500/RM300 dan ditambah RM150 dalam PRE 2020), tambahan RM30 untuk setiap orang anak (kadar sebelum RM120/orang) dan menambah kategori baru bagi isi rumah dengan pendapatan lebih RM4,000 sehingga RM5,000 yang terjejas akibat pengurangan pendapatan disebabkan cuti tanpa gaji dengan bantuan “one-off” berjumlah RM500.
3. Memperkenalkan insentif Kerja Dari Rumah iaitu tambahan daripada insentif Graduan Kerja, Wanita Kerja dan Watan Kerja di mana majikan yang mengubah orientasi pekerjaan dari pejabat ke rumah akan diberikan insentif sebanyak 10% daripada gaji pekerja tersebut terhad kepada maksima RM500 seorang sehingga akhir tahun.
4. Memperkenalkan Skim Bantuan Pendapatan Bekerja Sendiri kepada lebih 2 juta pekerja bebas, pekerja sementara dan pekerja sambilan dalam ekonomi gig iaitu ekonomi jangka pendek dengan bantuan pendapatan RM1,000 sebulan sepanjang tempoh PKP dan bantuan pendapatan RM500 untuk tiga bulan berikutnya.
Kelompok ini kebiasaannya tidak mencarum KWSP dan Perkeso maka pengeluaran RM500 dan bantuan RM600 tidak layak kepada mereka yang terdiri daripada peniaga pasar, peniaga makanan dan minuman, peniaga kiosk, penjaja, tukang jahit, tukang gunting rambut, mekanik, pekerja bengkel, guru tuisyen, pengasuh, ejen hartanah, jurugambar, pereka grafik, pemandu pelancong, pemandu van sekolah, pemandu teksi dan e-panggilan dengan syarat tiada pendapatan lain.
Kerajaan boleh mengenakan tambahan syarat untuk perniagaan didaftarkan dengan SSM, KWSP dan Perkeso untuk tujuan pangkalan data.
5. Membuka talian khas dan aplikasi khas di dalam talian Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia untuk menyalurkan aduan dan laporan pekerja yang dipaksa bekerja dalam tempoh larangan, pekerja yang dipaksa cuti tanpa gaji, pekerja yang dipotong gaji atau cuti secara tidak sah, pekerja yang dibayar gaji lewat, pekerja yang diberhentikan tanpa mengikut prosedur dan lain kes dengan prosedur tindak balas yang dipercepat bermula dari proses siasatan, penguatkuasaan dan sehingga pendakwaan.
Dalam keadaan persekitaran yang terancam maka keperluan hadir ke JTK untuk memfailkan aduan dan laporan adalah tidak sihat dan tidak praktikal. – 27 Mac, 2020.
* Faizal Riduan ialah perunding dasar dan polisi awam dan berpengalaman lebih 10 tahun sebagai pengurus sumber manusia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen