Wanita pulang dari Itali bawa virus Covid-19


Desmond Davidson

Wanita terbabit pulang ke tanah air dari Itali bersama rakannya tetapi tidak memberikan tarikh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2020.

PULANG ke tanah air dari Itali bukan satu kepulangan yang diharapkan oleh seorang wanita dari Kuching.

Kepulangannya hanya membawa kesakitan, kemarahan dan kematian untuk keluarga rakannya – yang hanya dinamakan sebagai “Keluarga RK” oleh pihak berkuasa kesihatan Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Dr Sim Kui Hian yang merahsiakan identiti keluarga itu berkata, wanita terbabit pulang ke tanah air dari Itali bersama rakannya. Beliau tidak menyatakan tarikh kepulangan wanita itu.

Dr Sim yang bertanggungjawab tentang perkara kesihatan untuk kerajaan negeri berkata, wanita terbabit dan rakannya tidak menunjukkan simptom jangkitan virus itu.

Tetapi kedua-dua wanita terbabit didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian ketika dikuarantin di rumah.

Menurut Dr Sim dan infografik yang dikeluarkan jawatankuasa pengurusan bencana, salah seorang daripada dua wanita terbabit kemudian menjangkiti 10 individu lain, termasuk seorang warga emas berusia 79 tahun, serta seorang wanita berusia 40 tahun dan abangnya berusia 49 tahun, yang ketiga-tiganya kemudian maut akibat Covid-19.

Dr Sim hanya menggambarkan “generasi pertama” individu terjangkit daripada “kluster Itali” – tujuh adalah wanita – dan “saudara rapat”.

Warga emas berusia 70 tahun itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 16 Mac selepas lima hari mengalami demam dan batuk, menurut jawatankuasa pengurusan bencana dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam laporan berkenaan kematiannya pada 18 Mac.

Mangsa mengalami masalah pernafasan semasa menerima rawatan, tetapi keluarga mangsa 79 tahun itu tidak membenarkan pihak hospital menggunakan ventilator, kata Dr Noor Hisham.

Keluarga kemudian membawa mangsa keluar dari hospital selepas sehari dimasukkan ke wad. 

Dr Sim berkata ujian darah mangsa menunjukkan beliau negatif Covid-19.

“Jadi mereka (keluarga) ingat dia tak dijangkiti Covid-19.” – 27 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.        

Nota editor: Artikel ini telah disunting untuk membetulkan fakta.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen