Peniaga kecil terjejas sejak pergerakan disekat


Mohd Farhan Darwis

Kedai-kedai kecil di Kampung Baru, Kuala Lumpur ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2020.

SHARIN Darus, 59, dan ahli keluarganya mula jimat berbelanja, cukup sekadar makan nasi berlaukkan ikan bilis dan telur goreng kicap, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu susulan penularan wabak Covid-19.

Sharin berniaga pakaian terpakai di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur dengan anggaran pendapatan antara RM100 hingga RM300 sehari.

Sepanjang lebih seminggu perintah kawalan ini berjalan, beliau belajar mengubah hidup untuk menghadapi situasi luar jangka setelah tidak boleh meneruskan perniagaan pakaian terpakai, yang diusahakan sejak 20 tahun lalu.

“Saya beli beras 15kg, ikan bilis 5kg, saya siapkan bekalan makanan mereka di rumah,” katanya, kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sharin, yang juga pengerusi Persatuan Peniaga Bundle Malaysia cawangan Kuala Lumpur, khuatir hari-hari mendatang akan lebih sukar untuk beliau menyediakan makanan untuk keluarganya selepas kerajaan melanjutkan tempoh PKP dua minggu lagi sehingga 14 April.

“Kita sudah bersiap sedia, tutup kedai selama dua minggu, tetapi perdana menteri umumkan tambah lagi dua minggu, macam mana?” soalnya.

Petang ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual mengumumkan pakej bantuan untuk rakyat yang digambarkan sebelum ini akan memenuhi keperluan segenap lapisan yang memerlukan.

Harap bantuan

Persatuan yang diketuainya mewakili mewakili 500 peniaga pakaian terpakai di Kuala Lumpur.

Peniaga pakaian terpakai Sharin Darus, berkata dia sekeluarga mula berjimat apabila tidak dapat berniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2020.

Bagi pihak persatuan, Sharin berharap Kementerian Wilayah Persekutuan, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau agensi agama seperti Baitulmal dapat menyalurkan bantuan kepada golongan sepertinya.

“Haraplah bantu kami. Dalam seminggu kami hanya berniaga dua hari, lima hari lagi rehat, kami berniaga hanya malam Jumaat dan Sabtu, tetapi dalam waktu ini tak boleh berniaga,” katanya.

Kawasan di sekitar Jalan Raja Bot, di Kampung Bharu, Kuala Lumpur merupakan syurga buat peminat dan pengumpul pakaian terpakai. Di kawasan itu terdapat kira-kira 250 peniaga yang kebanyakannya tidak mempunyai lesen perniagaan, sebaliknya berniaga di lorong dan kaki lima.

Selain mengetuai komuniti peniaga pakaian terpakai, Sharin turut bertanggungjawab menjaga kebajikan 15,000 peniaga kecil di sekitar Kuala Lumpur. Beliau adalah juga setiausaha agung Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP).

Melalui persatuan itu, beliau difahamkan DBKL ada menyediakan bantuan untuk peniaga kecil yang terjejas disebabkan PKP, namun terhad untuk mereka yang berlesen.

“Kami keliru macam mana proses nak dapatkan bantuan, daripada pengumuman perdana menteri sebelum ini pun kata dia tak mahu satu pun tertinggal, waima peniaga burger.

“DBKL pula dikatakan hanya bantu mereka berlesan, ramai juga peniaga pakaian terpakai  dan peniaga-peniaga kecil yang tiada lesen.

“Mereka tiada kedai, ada menumpang di pasar malam, dan bagi peniaga pakaian terpakai nak mohon lesen pun susah nak dapat,” katanya.

Hisham Hassan mengaku terpaksa melanggar perintah larangan pergerakan demi sesuap nasi untuk keluarganya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2020.

Sehubungan itu, pihaknya sedang mencari mekanisme terbaik menguruskan ahli persatuan yang sama-sama terjejas disebabkan perintah larangan pergerakan.

Seorang lagi peniaga kecil Farouk Azman, 48, berkata memasuki minggu kedua perintah larangan, beliau mula menggunakan simpanannya untuk belanja harian.

Peniaga gerai makan di Jalan Haji Hussein, Chow Kit itu berkata, setiap hari tidak berniaga, wang simpanannya mula menyusut.

“Duit ini macam air sawah, bila kita lepaskan pintu air, semua keluar… peniaga kecil macam saya ini berapa banyak sangat boleh simpan, sehari untung bersih RM20 hingga RM30.

“Bila tidak berniaga, kami tiada duit pusingan, makan tetap kena makan, nak buat macam mana.

“Mungkin selepas ini terpaksa pinjam dari rakan-rakan, terpaksa berhutang,” kata bapa kepada empat anak itu.

Yang di-Pertua PPPKMWP Mohamad Abdullah pula berkata, persatuannya mengharapkan kerajaan dapat membantu kesemua peniaga kecil di kawasan Kuala Lumpur, tanpa mengira sama ada berlesen atau tidak.

“Mereka ini pendapatan di bawah RM2,000, harapkan hasil jualan harian. Ada yang berniaga nasi lemak di bawah flat, ada berniaga bengkel motosikal kecil, tukang jahit, dan sebagainya.

“Kita nak semua sekali dibantu dalam waktu bencana wabak ini,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata persatuannya turut mencadangkan peniaga tanpa lesen ini dimasukkan ke dalam golongan asnaf di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), bagi membolehkan bantuan disalurkan.

“Mungkin ada antara mereka ini tidak berdaftar sebagai asnaf dengan Maiwp, tetapi sekarang dalam keadaan ini mereka juga terjejas dan perlu dibantu,” katanya.

Menunggu untung Ramadan

Peniaga itu juga khuatir sekiranya pihak kerajan memutuskan tiada bazar Ramadan tahun ini, seperti yang diumumkan kerajaan Negeri Sembilan.

“Kalau dipanjangkan lagi sehingga Ramadan, lagi rumit. Kami ingat Ramadan boleh jadi tempoh pemulihan kepada ekonomi kami.

“Dalam setahun, waktu itu nikmat berniaga kepada kami.

“Sekiranya panjangkan PKP sehingga tempoh itu, kami buntu kerana tiada wang simpanan lebih untuk tanggung keluarga,” kata Sharin.

Bagi Hisham Hassan, 53, beliau mengaku terpaksa melanggar perintah larangan pergerakan demi sesuap nasi untuk keluarganya.

Bermulanya tempoh perintah larangan pergerakan, pekerja penghantar alat ganti itu mula menjadi “runner” kepada pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan.

“Sekarang bengkel semua tutup, sejak mula tempoh perintah sekatan saya jadi runner hantar alat ganti automotif, jual mana stok alat ganti yang saya ada simpan, ada kawan-kawan kereta rosak minta tolong.

“Dapatlah sehari RM20 ke RM30, duduk saja di rumah tiada pendapatan, barang keperluan nak kena beli juga,” katanya.

Dia juga mengaku perlu berhati-hati dan tidak melalui sekatan jalan raya di sekitar ibu negara kerana menyukarkan pergerakannya.

“Tapi di Kuala Lumpur banyak jalan tikus, kita ikutlah mana yang boleh. Kalau bertembung dengan sekatan jalan raya memang saya salah, sebab tiada alasan untuk keluar.

“Kalau ada permintaan kita keluarlah, tetapi waktu ini tak banyak kereta, kurang kereta rosak atas jalan,” katanya. – 27 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen