POLIS Pahang menerima dua laporan daripada individu yang mendakwa kerugian ribuan ringgit, akibat diperdayakan dalam urusan pembelian penutup mulut dan hidung, dan cecair pembasmi kuman secara dalam talian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kedua-dua mangsa yang berasal dari daerah ini, mendakwa barangan tersebut diiklankan di akaun Facebook berbeza, sejak pertengahan Mac.
Katanya, kes pertama melibatkan seorang mekanik berusia 29 tahun yang mendakwa membayar RM3,348 bagi pembelian 100 botol cecair pembasmi kuman dan 80 kotak penutup mulut dan hidung pada 18 dan 19 Mac lalu.
“Seorang lagi mangsa ialah kontraktor wanita berusia 45 tahun, yang mendakwa telah membuat transaksi bayaran secara dalam talian bagi mendapatkan 83 kotak penutup mulut dan hidung pada harga RM1,976, pada 23 Mac lalu.
“Kedua-dua mangsa mendakwa mereka gagal menghubungi penjual barangan tersebut semasa mahu mendapatkan penjelasan selepas tidak menerima barangan itu dalam tempoh dimaklumkan,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.
Wazir berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati, semasa membuat pembelian dalam talian supaya tidak terpedaya dengan mereka yang mengambil kesempatan dalam situasi negara berdepan wabak Covid-19. – Bernama, 27 Mac, 2020.
Komen