TIDAK semua petugas barisan hadapan dalam perang melawan pandemik Covid-19 beruntung ada pengasuh untuk menjaga anak, selepas mereka dikerah bertugas ketika pusat penjagaan kanak-kanak ditutup.
Mereka yang ditemubual oleh The Malaysian Insight mengaku keadaan beberapa hari awal selepas penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu memang cukup kelam kabut.
Ia bukan saja sukar bagi mereka yang bertugas di bandar, malah mereka yang di luar bandar pun nasibnya sama.
Seorang pegawai polis dalam umur 30-an dan berkhidmat di Kelantan berkata beliau tiada pilihan selain meninggalkan anak perempuannya yang berumur setahun dengan kakaknya, 12, kerana suaminya juga bertugas sebagai polis.
“Saya siapkan susu dan makanan sebelum keluar bekerja dan tinggalkan dengan anak yang lebih tua. Dia kena jaga adiknya,” kata pegawai wanita yang enggan dinamakan.
Pegawai polis itu adalah antara petugas barisan hadapan yang masih buntu menyelesaikan soal pengasuh dua anaknya selepas perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa, dan sekarang dilanjutkan sehingga 14 April.
Sesetengah yang lain menyelesaikan kerumitan itu dengan penyelia di tempat kerja atau mendapatkan bantuan saudara mara atau jiran tetangga.
Bagi Azlina Mohd, 38, ibu tunggal yang juga anggota polis di Bukit Aman, ketua bahagiannya memberi kelonggaran untuk membawa ketiga-tiga anak ke pejabat sepanjang tempoh PKP.
“Saya yang sebelum ini dalam bahagian operasi diberikan kerja pejabat sepanjang tempoh PKP selain kelonggaran untuk membawa tiga anak ke pejabat,” katanya.
Jelas Azlina, anaknya yang berusia 8, 10 dan 12 tahun akan duduk di ruang rehat yang asalnya disediakan untuk warga kerja.
“Jika tidak diberi kelonggaran ini, pasti susah untuk saya bekerja dalam tempoh ini.
“Sebagai polis, tugas kami memang tidak kira masa dan sebelum ini. Ketika arwah suami ada dia yang selalu bertolak ansur dalam hal penjagaan anak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagi juru x-ray Mohd Azmil Roslan, 35, sepanjang usaha melawan penularan Covid-19 ini, beliau dan isteri, seorang jururawat, harus terus bekerja.
“Namun saya bersyukur kerana ibu bapa saya dan mertua sanggup menjaga tiga cucu mereka tanpa soal sebaik sahaja PKP dikuatkuasakan.
“Tetapi, sejak pandemik ini semakin serius, kami suami isteri tidak berani untuk menjenguk anak-anak di kampung dan cuma berjumpa mereka di alam maya iaitu panggilan video setiap hari.
“Janji mereka selamat dan sihat,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.
Bergilir jaga anak
Sementara itu, anggota polis pasangan suami isteri Adila dan Roslan yang selama ini bergilir-gilir syif untuk menjaga anak tunggal mereka, dapat bantuan jiran yang prihatin.
Adila yang sarat mengandung berkata jirannya menawarkan diri untuk menjaga anak mereka yang berumur 5 tahun.
“Saya pada mulanya bergilir syif dengan suami. Jika saya masuk syif pagi, dia akan minta syif kerja malam… demi tugas dan anak. Tetapi kini anak selamat di bawah penjagaan jiran.
“Tetapi, ada rakan sekerja saya yang sampai sekarang belum menemui jalan penyelesaian untuk masalah penjagaan anaknya.
“Hendak dihantar balik kampung, ibu bapanya sudah tiada. Di sini pula tiada yang sudi menjaga anaknya terutamanya yang bongsu disahkan hyperaktif,” katanya.
Dalam pada itu, di Lembah Klang, sebuah badan pemikir Projek Wawasan Rakyat menyediakan perkhidmatan pengasuh Kiddocare pada kadar subsidi 90%.
Pengasas Kiddocare, Nadira Yusoff berkata mereka menyediakan khidmat asuhan di rumah pelanggan bermula dari dua jam hingga 24 jam.
“Disebabkan program ini mendapat subsidi daripada POWR, bekerja barisan hadapan hanya membayar hanya 30 ringgit untuk penjagaan selama 24 jam.
“Sejak PKP dikuatkuasakan, kami sudah menyediakan perkhidmatan pengasuh kepada lebih 100 pelanggan.
“Mereka boleh bekerja dengan lebih tenang apabila anak-anak dijaga di rumah mereka sendiri dalam suasana lebih selamat,” katanya. – 27 Mac, 2020.
Komen