Tindakan lebih tegas bagi yang ingkar perintah kawalan, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata menerima banyak cadangan daripada orang ramai yang mendesak kerajaan lebih tegas sepanjang tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

PIHAK berkuasa akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang masih ingkar mematuhi perintah kawalan gerakan (PKP) kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata beliau menerima banyak cadangan daripada orang ramai yang mendesak kerajaan lebih tegas dalam tempoh ini.

“Semalam, kami membuat 110 tangkapan, polis memeriksa 163,467 kereta dan 23 sekatan jalan raya di semua lebuh raya utama. Polis kini mungkin mengubah pendekatan daripada memberi nasihat kepada tindakan tegas terhadap mereka yang enggan mematuhi peraturan,” katanya semasa persidangan akhbar hariannya hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mengatakan apa yang akan dilakukan untuk meningkatkan langkah keselamatan

“Saya juga menerima banyak cadangan daripada orang ramai yang mahukan penguatkuasaan yang tegas. Kami tidak mahu kerana ini 5% daripada 95% rakyat menerima akibat,” kata Ismail.

Ismail berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat malam ini dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bersama Panglima ATM Affendi Buang dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai prosedur operasi standard yang baru.

“Kami akan membuat keputusan mengenai bagaimana untuk lebih tegas dalam tindakan kami. Saya akan mengadakan mesyuarat malam ini. Pada Sabtu, MKN akan membentangkan SOP baru.”

Hamid dalam temu bual dengan RTM semalam memberi amaran keras kepada mereka yang masih degil melanggar perintah kawalan.

“Bagi yang menganggap mereka tidak akan dikalahkan atau tidak terkesan oleh penyakit ini, atau mereka hanya mahu menunjukkan diri sebagai gangster atau samseng yang melepak di tempat awam.

“Jangan terkejut jika anda ditangkap, digari, dan kemudian dibawa ke lokap polis, kerana sudah terjadi; jangan terkejut atau marah jika anda terpaksa duduk dalam lokap selama tiga hingga empat malam,” katanya. – 26 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen