Berbelanja dengan bijak ketika tempoh PKP, kata Dr Mahathir


Ravin Palanisamy

Rakyat diminta agar berbelanja dengan lebih berhemah sepanjang tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menasihatkan rakyat Malaysia agar berbelanja dengan berhemah bagi mengelakkan muflis ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Dr Mahathir berkata, penting untuk mereka berbelanja dengan bijak dan hanya membeli apa yang perlu sahaja kerana wang sangat penting pada ketika ini. 

“Dalam tempoh ini (PKP), pendapatan kita mungkin berkurangan. Jadi, perbelanjaan juga perlu dikurangkan.

“Ada barang yang tak begitu penting, yang kita boleh tangguh atau abaikan kerana kita perlu fokus kepada barang penting seperti makanan dan lain-lain,” katanya  pada sesi temubual di Instagram bersama selebriti Neelofa. 

Dr Mahathir juga berkata, masyarakat perlu disiplinkan diri mereka dan sentiasa positif dalam situasi sukar agar pandemik Covid-19 yang telah meragut 21 nyawa dan menjangkiti 1,796 orang di negara ini dapat dibendung.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada kerajaan yang hanya menguatkuasakan PKP dan bukan perintah berkurung sepenuhnya. 

“Kita perlu disiplinkan diri kita…kalau kita ikut nafsu dan kehendak, kita akan lakukan perkara yang tidak beri faedah kepada kita. 

“Kalau kita berdisiplin, kawal kehendak dan perasaan, pasti kita dapat hadapi PKP dan seterusnya. Ia mungkin megambil masa. Namun semuanya akan berakhir. 

“Lihat Itali sebagai contoh, 60 juta orang berdepan perintah berkurung. Kini India yang ada 1.3 bilion penduduk juga umumkan perintah berkurung. 

“Di sini kita hanya ada kawalan pergerakan. Seseorang tu masih boleh keluar apabila ada urusan penting dan kita berterima kasih kerananya,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir turut berterima kash kepada petugas barisan hadapan yang bekerja penuh dedikasi tanpa kenal erti penat lelah bagi menangani penularan wabak Covid-19. 

Menurutnya, walaupun mereka berdepan risiko terdedah kepada wabak itu, petugas barisan hadapan tetap meneruskan khidmat kepada negara dan memastikan masyarakat selamat. 

“Petugas barisan hadapan kita sangat berdedikasi. Mereka berdepan ancaman jangkitan namun mereka masih sanggup menjalankan tanggungjawab bagi memastikan kita semua selamat,” kata Dr Mahathir. – 26 Mac, 2020.


Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen