Bantuan kerajaan untuk hadapi Covid-19 belum mencukupi


PROJEK Wawasan Rakyat (POWR) menyeru kerajaan memberikan bantuan tunai tambahan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan kepada semua isi rumah B40, serta subsidi gaji setinggi 25%-50% berbanding gaji penuh untuk pekerja sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpendapatan RM5,600 sebulan (iaitu 200% berbanding gaji median nasional) dan ke bawah untuk tempoh April-Jun 2020.

Program bantuan tunai akan memenuhi keperluan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap yang tidak boleh bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manakala subsidi gaji akan mengurangkan keperluan syarikat PKS untuk memberhentikan pekerja mereka.

Tindakan segera perlu diambil bagi menangani krisis kesihatan dan ekonomi negara. 

Menurut kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), KDNK negara pada harga tetap mungkin menyusut sebanyak 2.9% pada tahun ini, manakala 2.4 juta orang mungkin kehilangan kerja. 

Pemberhentian kerja berskala besar akan memberikan impak negatif besar yang berpanjangan kepada ekonomi dan kestabilan sosial negara lama selepas krisis kesihatan ini ditangani.

Langkah sedia ada tidak mencukupi

Kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah untuk menangani kesan COVID-19 dan MCO.

Ini termasuk bantuan langsung tunai seperti Program Pengekalan Pekerjaan yang memberikan RM600/bulan selama enam bulan untuk pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dan penambahan RM150 kepada Bantuan Sara Hidup (BSH). 

Bank Negara Malaysia pula telah mengumumkan pelan rangsangan monetari besar yang berbentuk penangguhan bayaran pinjaman bank untuk semua sektor bagi meringankan beban aliran tunai jangka pendek.

Walaupun langkah-langkah ini membantu, ia tidak mencukupi.

Jelas sekali bantuan tunai yang lebih besar diperlukan. Kumpulan-kumpulan yang bekerja secara langsung dengan golongan berpendapatan rendah telah dibanjiri dengan permintaan bantuan tunai sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa.

Malah KRI, IDEAS, ISIS Malaysia dan REFSA serta individu-individu termasuk Nungsari Ahmad Radhi, Hamdan Abdul Majeed, dan Muhammed Abdul Khalid sebulat suara menyatakan bahawa langkah-langkah bantuan langsung tunai sedia ada adalah tidak memadai. 

Mereka mengsyorkan bantuan langsung tunai tambahan diberikan, sama ada dengan meluaskan liputan atau meningkatkan jumlah ERP atau BSH, atau kedua-duanya sekali.

Negara-negara lain telah melaksanakan bantuan langsung tunai yang besar untuk menangani krisis COVID-19. Singapura, Australia, dan Hong Kong telah melaksanakan dasar ini. 

Senada dengan itu, Denmark dan United Kingdom telah memperkenalkan subsidi gaji untuk mengatasi masalah pemberhentian kerja.

Respons kerajaan terhadap krisis ini mesti menyeluruh dan memberi keutamaan kepada mereka yang paling terjejas.

* Tharma Pillai, Yu Ren Chung, dan Hafiz Noor Shams adalah dari Kabinet Rakyat, sebuah usaha memantau pemerintah yang dijalankan oleh Projek Wawasan Rakyat.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen