Sorok 223,000 topeng muka sewaktu wabak Covid-19


Kalidevi Mogan Kumarappa

KPDNHEP Putrajaya rampas 223,000 unit topeng muka tiga lapis yang di sorok untuk dijual secara tersembunyi di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

PEJABAT Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya merampas 223,000 unit topeng muka tiga lapis yang disorok untuk dijual secara tersembunyi di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Pengarah bahagian penguatkuasanya, Iskandar Halim Sulaiman berkata serbuan itu hasil aduan orang awam mengenai penjualan topeng muka melalui Facebook pada harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan kerajaan.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas premis tersebut, kami menemui 223,000 topeng muka tiga lapis dianggarkan bernilai RM446,000.

“Suspek menjual topeng muka itu pada harga RM3.50 seunit melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM2.00 seunit,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, topeng muka itu dijual melebihi harga maksimum melalui pesanan aplikasi WhatsApp.

“Kaedah penjualan adalah melalui pesanan aplikasi WhatsApp dan barang dihantar melalui pos atau melalui kaedah Cash On Delivery (COD) di  Kota Damansara.

“Suspek didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011). Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta.

“Jika pesalah itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya. – 26 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen