Covid-19: Agen umrah rugi sampai RM300 juta, kata persatuan


Pemerintah Arab Saudi menggantung pengeluaran visa umrah dan pelancongan serta menutup kota suci Mekah kepada jemaah susulan penularan Covid-19. – Gambar EPA, 26 Mac, 2020.

SYARIKAT agen umrah menanggung kerugian tidak kurang RM300 juta, kata Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), sejak pemerintah Arab Saudi menggantung pengeluaran visa umrah dan pelancongan serta menutup kota suci Mekah kepada jemaah susulan penularan Covid-19.

Larangan sementara itu dianggar melibatkan sekurang-kurangnya 50,000 jemaah umrah Malaysia yang terpaksa menangguhkan hasrat mengerjakan ibadat umrah.

Presiden Papuh Razali Mohd Sham berkata langkah kerajaan Arab Saudi itu walaupun perlu, telah memberi kesan yang sangat hebat kepada agensi pelancongan umrah dan haji.

“Daripada data yang kami perolehi, tidak kurang dari 300 juta ringgit kerugian yang terpaksa ditanggung oleh ahli kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razali menjelaskan kerugian ditanggung selepas bayaran untuk penginapan hotel dan tiket penerbangan serta bayaran kepada pengendali di Arab Saudi tidak dikembalikan kepada agen di Malaysia.

“Kami menjangkakan dengan perkembangan Covid-19 ketika ini, ia akan melibatkan pakej-pakej sehingga bulan Ramadhan nanti,” tambahnya.

Papuh bagaimanapun berharap keadaan akan bertambah baik menjelang musim haji pada Julai nanti, kata Razali.

Jangan batal tempahan

Dalam pada itu, Razali menasihati bakal jemaah umrah agar tidak membatalkan tempahan mereka, sebaliknya berhubung dengan agen umrah masing-masing.

Katanya, beberapa syarikat penerbangan telah setuju memberikan kelonggaran untuk penjadualan semula tarikh penerbangan baharu.

“Ini adalah langkah terbaik kepada semua pihak yang terlibat supaya kita dapat saling bantu-membantu menghadapai waktu yang sukar ketika ini,” katanya.

Papuh sebelum ini diberitahu oleh Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur bahawa penggantungan sementara pengeluaran visa umrah dan pelancongan akan disemak semula menjelang 15 April ini.

Berkuat kuasa 27 Februari lepas Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah ke Mekah dan ziarah di Masjid Nabawi di Madinah susulan ancaman Covid-19.

Penggantungan itu juga meliputi visa pelancongan dari negara yang ada penularan virus itu.

Penggantungan umrah kemudian dilanjutkan ke atas rakyat dan penduduk tetap berkuat kuasa 4 Mac lalu. – 26 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen