AMERIKA Syarikat (AS) memberikan bantuan kemanusiaan bernilai hampir AS$151 juta kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal dari Rakhine sejak awal tahun ini.
Kedutaan AS di Malaysia dalam satu kenyataan media semalam berkata ia juga melibatkan diri dengan kerajaan Myanmar dalam usaha untuk menangani krisis dan cabaran jangka panjang di Rakhine.
Ini termasuk mendesak bagi menamatkan keganasan dan kekejaman yang berleluasa dan menangani krisis hak asasi manusia dan kemanusiaan di Rakhine, memastikan kepulangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dengan selamat, secara sukarela dan bermaruah.
“AS menyokong negara Myanmar yang aman, makmur dan demokratik yang menghormati hak asasi manusia semua rakyatnya. Kami sedang berusaha untuk segera menangani krisis hak asasi manusia dan kemanusiaan di Rakhine,” kata kenyataan itu.
Ia menambah AS juga berusaha untuk mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai dan perlanggaran dan pencabulan hak asasi manusia serta menyokong kerajaan Myanmar untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Penasihat mengenai Rakhine.
Kenyataan itu juga berkata AS membantu melatih lebih 225,000 petani pekebun kecil dalam teknik pertanian moden pada 2017, mengagihkan kelambu katil tahun lalu untuk melindungi satu juta orang di negara itu dengan tujuan membasmi malaria.
Dalam menyokong proses perdamaian nasional, AS juga menyediakan lebih AS$60 juta sejak 2012 untuk memperluaskan dan mengekalkan pembaharuan, dan untuk memupuk keamanan secara sah dan inklusif serta AS$1 juta untuk melaksanakan kurikulum pendidikan keamanan di sekolah-sekolah sekular dan berasaskan kepercayaan serta menjalankan penyelidikan mengenai isu agama dan etnik dalam dialog politik.
AS turut bekerjasama dengan masyarakat madani, kumpulan bersenjata etnik dan parti politik untuk membina budaya dialog dan menuju ke arah penyelesaian inklusif bagi mengakhiri konflik bersenjata. – Bernama, 17 November, 2017.
Komen