Ujian Covid-19 di rumah lebih mahal kerana kos operasi


Ragananthini Vethasalam

Ujian saringan di fasiliti kesihatan kerajaan hanya untuk kes sporadik, pesakit dalam siasatan atau kontak rapat sahaja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

KOS ujian saringan Covid-19 di rumah lebih mahal kerana melibatkan kos operasi yang tinggi, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Difahamkan harga perkhidmatan itu boleh mencecah sehingga RM700.

Mengulas berhubung perkara itu, Presiden MMA Dr N Ganabaskaran berkata kos operasi yang tinggi melibatkan pengangkutan, tenaga kerja, peralatan perlindungan peribadi (PE) dan kit ujian.

“Harga yang dikenakan bagi ujian Covid-19 di rumah lebih kurang sama dengan caj yang dikenakan penyedia perkhidmatan ini.

“Kosnya lebih mahal untuk ujian di rumah berikutan kos operasi yang tinggi melibatkan PPE, pengangkutan, tenaga kerja dan kit ujian.

“Ujian di rumah ini hanya dilihat sebagai salah satu pilihan ujian yang ada,” kata Dr Ganabaskaran kepada The Malaysian Insight.

New Straits Times yang memetik DoctorOnCall melaporkan perkhidmatan ujian di rumah ini dikenakan caj sehingga RM700.

BookDoc, Pantai Premier Pathology Sdn Bhd, Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ), Qualitas Medical Group Sdn Bhd, Gleneagles Kuala Lumpur, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Hospital Pantai Cheras, Hospital Pantai Klang, Hospital Pantai Ayer Keroh, Twin Towers Medical Centre di KLCC dan DoctorOnCall, antara yang tersenarai sebagai penyedia perkhidmatan itu.

Baru- baru ini Kementerian Kesihatan menyatakan mereka yang tidak mempunyai gejala jangkitan boleh menjalani ujian di rumah daripada ke fasiliti perubatan untuk disaring.

Beberapa hospital swasta turut menawarkan perkhidmatan ujian berkenaan dengan kos kira-kira RM600.

Sementara itu, ujian di fasiliti kesihatan kerajaan hanya dikenakan caj RM1.

Bagaimanapun hanya kes sporadik, PUI (pesakit dalam siasatan), atau kontak rapat akan disaring di fasiliti ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa hospital swasta agar tidak mengenakan caj tinggi bagi ujian Covid-19.

“Saya rasa bayaran antara RM500 dan RM700 sudah memadai. Itu adalah kadar kompetitif sektor swasta.

“Kita tak boleh bandingkan dengan hospital kerajaan kerana ia dibiaya oleh kerajaan.

“Di hospital awam, kos setiap ujian juga RM700. Namu kita harap hospital swasta tidak mengenakan caj tinggi sebagai tanggungjawab sosial dalam keadaan darurat,” kata Muhyiddin.

Ramai rakyat Malaysia yang menjalani ujian Covid-19 di hospital swasta, atau menggunakan kit ujian di rumah susulan peningkatan jumlah kes di negara ini.

Semalam, 712 jangkitan baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan 1,796.

Covid-19 turut meragut 20 nyawa setakat ini.

Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha untuk mengekang penyebaran virus itu.

Bagaimanapun semalam, Muhyiddin mengumumkan lanjutan PKP sehingga 14 April berikutan peningkatan kes jangkitan.

Kementerian Kesihatan berkata negara kini sedang menuju ke fasa keempat iaitu fasa mitigasi untuk Covid-19.

Fasa berkenaan adalah berdasarkan peningkatan jumlah kes bagi sesuatu wabak yag bermula dengan fasa amaran, pembendungan awal, pembendungan akhir sebelum langkah mitigasi dilaksanakan. – 26 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen