Petani, penternak, nelayan mengadu terjejas sejak kawalan pergerakan


Mohd Farhan Darwis

Kebanyakan nelayan bergantung pada pendapatan harian daripada pelanggan yang kebanyakannya di Lembah Klang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

PETANI dan nelayan mengadu pendapatan mereka susut sampai 60% kerana kurang pelanggan sejak kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu.

Mereka yang ditemui di Sungai Besar, dalam daerah Sabak Bernam, Selangor, berkata, jualan harian yang merosot membimbangkan mereka untuk mengharungi hari-hari mendatang apabila tempoh perintah itu dilanjutkan.

Petani dan nelayan ini bergantung pada pendapatan harian daripada pelanggan yang kebanyakannya di Lembah Klang.

“Sebelum tempoh perintah kawalan pergerakan hasil jualan sehari boleh dapat sehingga RM300, tetapi selepas tempoh ini saya cuma mampu jual RM20,” kata Zamri Ahmad, 37, kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui baru-baru ini di Sungai Besar.

Zamri adalah antara lebih 100 nelayan yang berpangkalan di Jeti Nelayan Sungai Haji Dorani. Hasil tangkapannya akan dijual sendiri oleh ahli keluarganya di Bazar Sungai Haji Dorani.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, gerai keluarganya itu pada kebiasaannya beroperasi seawal 7 pagi hingga 7 petang, namun sejak PKP, operasinya dipendekkan setakat 4 petang.

“Saya turun ke laut waktu pagi dan pulang ke darat dalam pukul 2 petang, terus hantar hasil tangkapan ke kedai, kemudian pukul 4 petang dah kena tutup.

“Ada masa dua jam sahaja… pelanggan pun takut nak keluar, boleh dikira berapa orang yang beli ikan. Bila macam ini, kita nak ke laut pun tak berbaloi, macam buang masa,” katanya.

Antara tangkapan yang didaratkan di jeti berkenaan adalah hasil laut di kawasan pesisir pantai termasuk pelbagai jenis ikan seperti belanak, bawal tambak, kembung, ketam, udang, dan kerang-kerangan.

Kebanyakan hasil tangkapan nelayan tidak terjual susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasa berikutan penularan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

Rahmat Mat Darus, 55, pula berkata, dia memilih untuk tidak turun ke laut sejak hari kedua PKP selepas tangkapannya pada hari pertama perintah itu bermula hampir separuh tidak terjual.

“Boleh kalau nak turun ke laut, tetapi siapa nak beli hasil tangkapan.

“Pelanggan saya ramai dari Kuala Lumpur, Rawang, dan banyak tempat… bila perintah ini mereka tak boleh keluar nak ambil ikan.

“Sepanjang tempoh ini, enam hari saya tidak turun ke laut, tidak ada pendapatan. Kami sekeluarga makan apa yang ada sahaja di rumah,” katanya, yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai nelayan.

Selain ke laut, Rahmat ada kerja sampingan sebagai mekanik enjin bot. Namun kerja itu pun terjejas kerana kedai alat ganti tidak dibenarkan untuk beroperasi.

Ketua Jaringan Perikanan (KJP) Sungai Haji Dorani, Zulkarnain Saidik, 29, berkata, memburukkan keadaan, peraih dan pemborong juga tidak dapat mengambil hasil tangkapan mereka kerana perintah tersebut.

“Peraih kebanyakannya dari Kuala Lumpur, ada juga dari Pasar Borong Selangor, mereka tidak boleh ambil hasil nelayan.

“Jadi lebihan tangkapan itu kita jual COD (bayaran tunai ketika hantaran) dari rumah ke rumah,” katanya, dan menambah kaedah itu tidak mampu menjual keseluruhan hasil tangkapan.

Sepanjang minggu pertama PKP, Zulkarnain juga tidak mempunyai sebarang hasil pendapatan, yang kebiasaannya diperolehi sekitar RM300 sehari.

“Sekarang ini pula waktu air besar, hasil tangkapan sepatutnya banyak, masalahnya nak jual di mana.

“Dalam waktu ini, kita gunalah simpanan mana yang ada, kalau kata syiling itu laku kita tukar, guna duit tabung,” katanya, yang menanggung kehidupan empat ahli keluarganya.

Zulkarnain berkata, pihaknya sehubungan itu mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan sebarang langkah untuk mengurangkan bebanan nelayan seperti dirinya.

Tambahnya, sekiranya peraih dapat mengambil hasil tangkapan mereka seperti biasa, itu sudah memadai untuk membolehkan mereka mempunyai pendapatan harian.

“Kalau ada peraih kita boleh turun ke laut, kalau tiada peraih, barang kita tak laku.

“Kami tiada (caruman) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perkeso, setakat insurans kelompok nelayan, sekarang ini setakat bantuan RM250 elaun sara hidup, kita guna duit itu sahajalah,” katanya, lagi.

Pendapatan petani turut terjejas apabila hasil tanaman mereka banyak yang tidak terjual berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

Bela kambing sekarang pun susah

Keadaan tidak jauh berbeza dengan golongan petani seperti Mohd Faisal Idris, apabila produk pertanian dan penternakan kambing yang diusahakannya tidak dapat dijual, dalam tempoh seminggu yang lalu.

“Dalam masa seminggu ini tiada jualan, tiada kambing terjual. Orang tak beli kambing, kita juga bimbang nak beri orang datang ke ladang.

“Apabila tiada jualan, ini akan jejaskan ekonomi petani dan pengeluar, sama ada skala besar atau kecil, maknanya wang tidak berputar,” kata Faisal.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Bertindak Pertanian Negara (BBPN) berkata, situasi tersebut  menyebabkan golongan sepertinya tidak mempunyai aliran tunai di poket masing-masing, sedangkan mereka perlu berbelanja untuk menampung keperluan harian.

“Dalam tempoh jangka masa panjang ramai terpaksa tanggung beban berat sedangkan kami hidup kais pagi makan pagi.

“Kita tiada simpanan KWSP, gaji bulanan atau bonus nak diharapkan. Kita harap pada hasil yang kita dapat, setiap hari,” katanya.

Beliau menyarankan agar kerajaan memberikan rangsangan dan bantuan kepada kelompok petani, penternak, dan nelayan.

“Misalnya keperluan untuk wang tunai, berapa kerugian pengusaha sepanjang tempoh ini, hendaklah dinilai dan diberikan imbalan, mungkin ramai yang gulung tikar,” katanya.

“Jadi kita berdoa supaya perkara ini dapat diselesaikan, kita tak boleh ambil lewa,” katanya lagi.

Faisal juga berkata, susulan penularan wabak Covid-19 ini juga, kerajaan seharusnya mengambil iktibar, dan mengukuhkan rantaian pengedaran makanan dan jaminan keselamatan makanan untuk rakyat.

“Rantaian makanan kita juga hancur, saya mewakili rakan penternak dan petani, kami melihat pada waktu ini semuanya mati, jalan tiada orang, sayur terbiar, hanya digunakan dan dijual di kawasan sekitar, kesan segeranya jelas.

“Tanpa kami (petani, penternak, nelayan) tiada makanan tiga kali sehari atas meja, kita jumpa doktor mungkin sebulan sekali, peguam lima tahun sekali, penyedia makanan kamu jumpa tiga kali sehari,” katanya, lagi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual mengumumkan satu lagi bantuan kerajaan kepada golongan rakyat, termasuk petani dan nelayan, yang dibayangkannya sebagai “tidak akan meninggalkan sesiapa”.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang,penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat.

“Insya-Allah, no one will be left behind,” kata Muhyiddin semalam. – 26 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen