-2.jpg)
KATA orang bijaksana: “Mereka yang jujur meyakini kebenaran.” Sebab itu, penting bagi sesiapa saja untuk bersifat jujur.
Kejujuran penting dalam kehidupan bermasyarakat hari ini. Kita saling bergantung dan segala yang berlaku adalah tanggungjawab kita bersama.
Bukan niat saya untuk menyumbat minda anda dengan nasihat klise tentang kejujuran tetapi nilai tersebut saya lihat semakin hari semakin penting untuk diketengahkan.
Kejujuran adalah nilai terpenting yang perlu diangkat oleh semua pihak ketika ini.
Lebih-lebih lagi dengan apa yang dihadapi oleh lebih 30 juta rakyat Malaysia kini.
Rakyat sedang berdepan dengan dugaan yang sangat besar. Covid-19 sedang menular dalam kalangan kita. Kita semua kini merasai hidup dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.
Sehingga semalam, sebanyak 20 kematian dicatatkan ekoran virus berkenaan. Sementara itu, sebanyak 1,796 kes disahkan positif Covid-19.
Rakyat setiap hari diminta tidak keluar atau membataskan pergerakan ke luar rumah. Namun begitu, malangnya manusia juga bersifat degil. Terdapat juga yang tidak patuh arahan pihak berkuasa.
Ada yang tidak jujur dan menyembunyikan sejarah perjalanan ke luar negara atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif Covid-19.
Hanya selepas prosedur dan rawatan klinikal selesai, maklumat kritikal itu didedahkan. Tetapi nasi sudah menjadi bubur.
Keselamatan petugas kesihatan dan fasiliti perubatan sudah pun terjejas.
Bukan saja golongan ini tidak jujur kepada orang lain tetapi juga diri mereka sendiri.
Apa guna mereka menipu?
Tidak sedarkah mereka yang tindakan mereka itu membawa kemudaratan kepada orang lain?
Perlu diingatkan, adalah menjadi satu jenayah sekiranya maklumat kritikal seumpama ini disembunyikan atau tidak didedahkan.
Bayangkan apa perasaan doktor dan jururawat yang terpaksa menanggung kemudaratan daripada sikap mementingkan diri ini?
Pasukan hadapan perubatan yang saban hari bertungkus-lumus menyelamatkan pesakit, akhirnya menjadi mangsa virus itu sendiri dan terpaksa dikuarantinkan.
Apa perasaan mereka? Tidakkah kita fikir?
Adalah menyedihkan apabila dilaporkan, sebanyak 15 petugas kesihatan termasuk tiga daripada mereka dari sektor kesihatan swasta telah dijangkiti Covid-19 manakala seorang daripada mereka berada di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.
Bayangkan kalau mereka ini saudara mara kita? Rakan-rakan kita? Apa kita rasa?
Oleh itu, saya ingin tekankan lagi, kejujuran merupakan satu sifat yang menzahirkan keikhlasan hati pemiliknya dalam menyatakan sesuatu.
Jujurlah dengan rasa bertanggungjawab demi kepentingan bersama.
Sambutlah seruan Kementerian Kesihatan agar orang ramai dan pesakit untuk jujur dan tidak menyembunyikan maklumat sehingga menimbulkan risiko kepada nyawa dan fasilitinya.
Tampil ke depan jika mempunyai risiko penyebaran jangkitan. Lakukan demi tanggungjawab universal kita sebagai manusia.
Yang penting, jujurlah kepada diri sendiri.
Sanggupkan kita melihat orang yang tidak bersalah menanggung bebanan yang dahsyat ini?
Tepuk dada, tanyalah diri sendiri. – 26 Mac, 2020.
* Ben Zack ialah pembaca The Malaysian Insight.
Komen