Harga bahan mentah lonjak 600% kekang pengeluaran topeng muka


Bernard Saw

Kerajaan melarang eksport topeng muka ke luar negara bagi memastikan bekalan untuk rakyat Malaysia ketika krisis Covid-19, mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

KENAIKAN 600% harga bahan mentah menjadi kekangan kepada pengeluaran topeng muka ketika permintaan terhadap produk itu sangat tinggi dalam dunia berdepan dengan pandemik koronavirus.

Syarikat pengeluar memberitahu The Malaysian Insight mereka masih menghasilkan alat perlindungan diri itu, tetapi akan terpaksa menghentikannya apabila kehabisan bahan mentah.

Pengarah Urusan Ideal Healthcare Sdn Bhd Haminuddin Abd Hamid berkata susulan sekatan dalam mendapatkan bahan diperlukan dari beberapa negara lain, harga untuk kain jenis melt-blown, iaitu bahan utama pembuatan topeng muka, melonjak hingga 600%.

“Kami masih menghasilkan produk itu pada kapasiti yang sama, tetapi ada sekatan dalam mendapatkan bahan mentah, dan kos untuk kain penapis BFE 95% warna putih naik hingga 600%.

“Di samping itu, kerajaan mengenakan duti import dan cukai jualan terhadap penapis itu, tetapi memberi pengecualian bagi produk siap.”

Beliau berkata kilang syarikat itu di Sungai Petani, Kedah akan menghentikan pengeluaran bila bahan mentah habis digunakan.

Malaysia pada masa ini berdepan kekurangan bekalan topeng yang serius. Farmasi di seluruh negara kehabisan produk itu dan menunggu ketibaannya dari luar negara.

Malaysia pada masa ini berdepan kekurangan bekalan topeng yang serius. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa berkata kerajaan melarang eksport topeng muka ke luar negara bagi memastikan bekalan untuk rakyat Malaysia ketika krisis Covid-19, mencukupi.

Beliau berkata Putrajaya juga akan mengimport topeng muka dari China berikutan penghasilan tempatan bermasalah dalam mendapatkan bahan mentah mencukupi.

“Saya dimaklumkan topeng itu akan diimport pada harga RM1.18 sehelai, dan kita akan agihkan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

Pada Isnin, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata sejumlah 10 juta topeng muka akan dibawa masuk dari China secara berperingkat untuk memenuhi kekurangan bekalan produk itu di dalam negara, sebagai sebahagian daripada perjanjian antara kedua-dua negara.

Haminuddin, di mana syarikatnya adalah pembekal utama topeng muka untuk pasaran tempatan, berkata beliau menulis surat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkenaan kekurangan bahan mentah, tetapi tidak menerima jawapan yang munasabah.

“Mungkin sesetengah pengimport boleh ambil alih mengimport bahan dari China dan tanpa cukai mereka mungkin dapat untung berdasarkan kepada harga siling semasa,” katanya.

Haminuddin berkata syarikatnya mengimport kain meltblown dari pasaran luar China, jadi ia tidak terjejas daripada penurunan kapasiti pengeluaran China sebelum ini.

Dengan perintah berkurung dan sekatan dikenakan oleh negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, kapasiti pengeluaran di rantau lain mungkin turut terjejas.

China News Service melaporkan permintaan untuk kain meltblown di China melonjak, menjadikan sukar untuk mendapatkannya.

“Sebut harga untuk kain meltblown sekitar 200,000 yuan (RM123,000) setan. Harga bahan mentah naik 10 kali ganda.

“Satu sebab ialah kerana kekurangan bahan mentah. Sebab lain ialah, masa diambil agak lama untuk menghasilkan mesin meltblown, di mana pusingan pengeluaran ambil masa lebih lama, biasanya antara tiga dan enam bulan.” – 26 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen