IS hilang 95% kawasan


IS sudah hilang 95% kawasan “khalifahnya” yang diisytiharkan tiga tahun lalu di sempadan Iraq dan Syria, kata Amerika Syarikat. – Gambar AFP, 16 November, 2017.

KUMPULAN Negara Islam Iraq dan Syria (IS) sudah hilang 95% kawasan “khalifahnya” yang diisytiharkan tiga tahun lalu di sempadan Iraq dan Syria, kata Amerika Syarikat.

“Sejak kami membentuk pakatan pada 2014, IS hilang 95% kawasan yang pernah dikawalnya di Iraq dan Syria,” kata envoi Washington Brett McGurk pada Rabu selepas mesyuarat di Jordan.

Kumpulan pengganas yang bertaburan di sepanjang Syria dan Iraq itu mengisytiharkan kawasan sempadan kedua negara sebagai “khalifah” yang mempunyai saiz sebesar negara Britain, menarik ribuan pengganas asing ke sana.

Tetapi beberapa serangan ketenteraan termasuklah yang disokong AS menyebabkan IS kehilangan kawasan itu.

“Lebih daripada 7.5 juta orang dibebaskan daripada IS,” kata McGurk dalam satu kenyataan menambah yang kewangan kumpulan itu sekarang dalam keadaan teruk.

Ketika impian pengganas mempunyai kawasan sendiri kini berkecai di medan tempur, negara Barat mula mengalihkan perhatian untuk menghalang pengganas asing kembali ke negara masing-masing untuk melakukan serangan.

McCurk menegaskan yang pergerakan keluar masuk pengganas ke Syria “hampir berhenti” dan penganas kini ditangkap ketika melintas sempadan. – AFP, 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen