KKM seru keselamatan dan kebersihan makanan diutamakan


SELAIN perlu sentiasa duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, aspek keselamatan dan kebersihan makanan juga perlu sentiasa diutamakan oleh setiap pengendali makanan.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai mengenai perkara itu menerusi klip video berdurasi lebih satu minit yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Klip video itu menerangkan beberapa tips amalan penjagaan keselamatan makanan termasuk penerangan adakah Covid-19 boleh berjangkit melalui makanan. 

Ia menjelaskan bahawa virus itu biasanya tersebar dari satu orang kepada orang lain melalui titisan pernafasan, bagaimanapun adalah penting untuk melaksanakan amalan kebersihan makanan yang baik bagi mencegah sebarang kontaminasi.

Berdasarkan paparan video itu, kontaminasi atau pencemaran bakteria atau virus boleh berlaku pada permukaan makanan, peralatan memasak dan bahan pembungkus makanan.

Sehubungan itu, orang ramai perlu mencuci tangan dengan bersih secara lebih kerap setiap kali mengendalikan makanan, memastikan peralatan memasak digunakan bersih, dan sentiasa melakukan proses sanitasi pada permukaan tempat penyediaan makanan di ruang dapur.

Selain itu, menurut paparan dalam video berkenaan, makanan perlulah di masak dengan sempurna iaitu pada suhu yang mencukupi bagi mengelak makanan menjadi mentah.

Orang ramai juga tidak digalakkan untuk menyimpan terlalu banyak bahan makanan di dalam peti sejuk, dan perlu sentiasa melupuskan sisa makanan atau sampah bagi mengelak kehadiran haiwan perosak.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bermula 18 Mac, akan dilanjutkan sehingga 14 April.

Pelbagai nasihat dan peringatan turut diberikan oleh kerajaan dan KKM kepada orang ramai sepanjang melalui tempoh itu, antaranya memastikan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan sabun, sentiasa duduk di rumah, amalkan jarakan sosial dan memakai penutup hidung dan mulut.– Bernama, 25 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen