Korban Covid-19 naik kepada 19 orang


Bede Hong

Kematian kerana Covid-19 di Malaysia kini 19 orang dengan 1,796 kes positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Mac, 2020.

TIGA  lagi jadi korban wabak Covid-19 hari ini, membawa kepada jumlah kematian sebanyak 19 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, 172 kes jangkitan baharu juga dikesan, menjadikan jumlah positif Covid-19 kepada 1,796 kes.

71 kes jangkitan baharu itu ada kaitan dengan kluster tabligh Masjid Seri Petaling, baki 101 kes lagi belum diketahui sumber dan dalam siasatan. 

“45 pesakit dirawat di ICU termasuk 34 menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya pada taklimat harian KKM, hari ini.

Menurutnya lagi, jumlah mereka yang pulih kini sebanyak 199 orang.

Dr Noor Hisham berkata Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC)  melaporkan satu kes kematian semalam dan tiga kes kematian hari ini.

Kes kematian ke-16 melibatkan Kes 1331, lelaki warga Malaysia berusia 75 tahun dengan sejarah penyakit kronik. Beliau dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu. Keadannya bagaimanapun semakin teruk dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum meninggal dunia semalam, jam 7.40 petang.

Kematian ke-17 melibatkan Kes 1251, lelaki warga Malaysia berusia 66 tahun dengan sejarah penyakit kronik dan disyaki kontak rapat pesakit Covid-19 daripada kluster tabligh. Beliau dirawat di Hospital Sultanah Fatimah pada 20 Mac. Beliau meninggal dunia pada jam 4.10 pagi tadi di ICU.

Kes ke-18 adalah pesakit kes 1625, lelaki Malaysia berusia 56 tahun dengan sejarah penyakit kronik yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor pada 20 Mac sebelum meninggal dunia pada jam 2 pagi Isnin.

Kematian ke-19 adalah pesakit kes 1246, wanita warga Malaysia berusia 66 tahun yang dirawat di Hospital Sultanan Nora Ismail, Johor pada 19 Mac. Beliau meninggal dunia pada jam 12.53 pagi di ICU.

Mengenai lanjutan perintah kawalan pergerakan, Dr Noor Hisham menggesa rakyat mengekalkan jarak sosial pada jarak sekurang-kurangnya 1 meter dan bersenam di rumah masing-masing.

“Orang awam digalakkan melakukan aktiviti senaman dalam rumah, bersama-sama keluarga apabila melakukan senaman.” – 25 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen