Sabah umum bantuan Covid-19 RM670 juta


Irwan Majid

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkat pakej itu membabitkan 15 langkah dengan sasaran khusus kepada rakyat yang terjejas secara langsung akibat penularan wabak tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 25 Mac, 2020.

KERAJAAN Sabah hari ini mengumumkan pakej bantuan Covid-19 melibatkan peruntukan sebanyak RM670 juta bertujuan meringankan beban rakyat negeri itu.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkat pakej itu membabitkan 15 langkah dengan sasaran khusus kepada rakyat yang terjejas secara langsung akibat penularan wabak tersebut.

Antara bantuan yang diberikan termasuk bantuan khas tunai RM500 secara terus kepada lebih 38,000 ketua rumah yang tergolongan miskin dan miskin tegar, melibatkan peruntukan RM20 juta di bawah program e-Kasih. 

Bantuan itu akan dibayar dalam tempoh terdekat dengan menggunakan sistem agensi kerajaan negeri sedia ada, jelas Shafie.

“Bagi golongan miskin tegar dan B40 kita memang mempunyai senarai di bawah e-Kasih.

“Ini telah kita laksanakan sebaik mungkin menerusi agensi kebajikan masyarakat yang ada dan ini kita akan laksanakan,” katanya, pada sidang media selepas mengumumkan pakej itu di Kota Kinabalu.

Shafie juga mengumumkan bantuan kerajaan negeri itu turut disalurkan kepada anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia, serta pemandu teksi, pekebun kecil, nelayan, penternak dan malim gunung, melibatkan peruntukan RM80 juta.

Dalam pada itu, bagi membantu kerja-kerja petugas barisan hadapan yang memerangi wabak Covid-19, Shafie mengumumkan peruntukan khas RM50 juta sebagai perbelanjaan kecemasan.

“Ini bagi memastikan golongan tersebut mempunyai bekalan barangan guna pakai dan peralatan yang kritikal dalam menjalankan tugas mereka seperti topeng muka, alat pembasmi kuman serta pakaian pelindung,” katanya.

Kerajaan Sabah juga memperuntukkan tambahan RM10 juta bagi bantuan makanan dan keperluan lain petugas barisan hadapan yang merangkumi antaranya doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan dan pegawai imigresen. – 25 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen