Singapura haramkan perdagangan dengan Korea Utara


Singapura merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Korea Utara.– Gambar AFP, 16 November, 2017.

SINGAPURA melarang semua barangan dagangan secara komersial, termasuk pertukaran wang atau perdagangan barter dari Korea Utara, sama ada diimport, dieksport, dipindahkan atau belian dalam transit melalui republik itu berkuat kuasa mulai 8 November, 2017.

Dalam pekeliling kepada pedagang dan ejen pengisytiharan bertarikh 7 November, Kastam Singapura menjelaskan bahawa bagi  transaksi bukan komersial dari atau ke Korea Utara, larangan adalah terpakai bagi barangan yang dipersetujui di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu.

Ia berkata, mana-mana pihak yang melanggar mana-mana larangan itu, akan didenda tidak lebih S$100,000 atau tiga kali ganda nilai  barangan berkaitan dengan kesalahan dilakukan, yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali, bagi sabitan pertama.

Denda tidak lebih S$200,000 atau empat kali ganda nilai barangan berkaitan dengan kesalahan dilakukan, yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, bagi sabitan kedua dan seterusnya.

Pekeliling sepanjang dua muka surat  yang dipaparkan di laman webnya itu ditandatangani oleh Ketua Strategi dan Keselamatan Perdagangan bagi Ketua Pengarah Kastam Singapura, Fauziah A.Sani.

Singapura merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Korea Utara. – Bernama, 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen