SKMM sah sekat sayakenahack


Yasmin Ramlan

Ketua Pegawai Operasi SKMM Dr Mazlan Ismail mengesahkan sekatan itu dilakukan setelah mendapat permohonan dari Jabatan Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Seksyen 130 Akta 709. – Gambar AFP, 16 November, 2017.

AGENSI pemantau internet Malaysia mengesahkan mereka menyekat lama sesawang sayakenahack.com hari ini kerana wujud kebimbangan data peribadi disalah guna sekiranya sesiapa sahaja boleh memeriksa sama ada mereka digodam hanya menggunakan nombor kad pengenalan mereka.

“MCMC (SKMM) telah mengambil tindakan untuk membuat sekatan ke atas laman sayakenahack.com setelah mendapat permohonan dari Jabatan Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 - Seksyen 130 Akta 709,” kata Ketua Pegawai Operasinya Dr Mazlan Ismail kepada The Malaysian Insight melalui Whatsapp.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menjelaskan secara terperinci sebab ia disekat.

Menurut akta tersebut, sebarang bentuk penzahiran maklumat peribadi tanpa persetujuan pengguna data menerusi apa-apa platform termasuklah internet adalah merupakan satu kesalahan di bawah akta itu.

Laman web tersebut merupakan tempat orang ramai menyemak status maklumat peribadi dalam kecurian dan pencerobohan data lebih 46.2 juta pelanggan telefon mudah alih di Malaysia, baru-baru ini.

Pengasas laman forum lowyat.net Vijandren Ramadass bagaimanapun percaya sekatan itu dibuat kerana ada individu yang menyalahgunakan kemudahan yang disediakan melalui laman web itu.

Keith Rozario pencipta sayakenahack.com berkata dia memuat naik data daripada syarikat telekomunikasi dan mempertimbangkan patutkah dia memuat naik data diperolehi daripada syarikat perubatan.

Katanya dia boleh memuat turun data itu kerana “sesiapa sahaja yang tahu boleh menjumpainya di carian Google”. – 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen