Petani, peniaga kecil harap pakej rangsangan lebih komprehensif


Angie Tan

Ramai petani dan peniaga kecil yang terkesan akibat pelaksanaan PKP susulan penularan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2020.

LEBIH banyak subsidi dan penangguhan bayaran balik pinjaman adalah antara usaha kecil yang diharapkan daripada pakej rangsangan Putrajaya yang akan diumumkan pada 30 Mac untuk menangani kejatuhan ekonomi dari Covid-19.

Penjaja, peniaga kecil dan petani mengharapkan kepada janji Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang pakej ini akan memberi tumpuan kepada peniaga kecil, pemandu teksi, petani, nelayan, petani ternakan, pekerja kilang, pekerja swasta dan penjawat awam.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Ang Say Tee memberitahu The Malaysian Insight beliau berharap rancangan itu akan membantu peniaga kecil yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir pada 31 Mac. 

Ramai peniaga kecil terpaksa menanggung bayaran pinjaman perumahan dan kenderaan yang tertunggak, kata Ang.

“Terutamanya peniaga kecil dan sederhana, mereka bergantung kepada pendapatan perniagaan. Jadi sangat sukar sekiranya tiada pendapatan,” kat Ang kepada The Malaysian Insight. 

“Syarikat yang lebih besar juga berdepan kesukaran. Walaupun pekerja tidak bekerja semasa perintah kawalan pergerakan, majikan masih perlu membayar gaji dan sewa.”

Ang mencadangkan kerajaan agar membenarkan bayaran pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan ditangguhkan bagi tempoh enam bulan. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Tan So Siok mencadangkan kerajaan menyediakan subsidi pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran kepada petani.

“Langkah ini pernah dilaksanakan pada 2008. Ketika itu kerajaan menyediakan subsidi bagi membantu petani meningkatkan pengeluaran dalam berdepan masalah harga minyak mentah dunia.

“Subsidi sayur-sayuran adalah RM81 satu tan dan RM78 bagi buah-buahan. Bagaimanapun kerajaan memansuhkan subsidi itu pada tahun berikutnya.”

Tan juga berharap kerajaan akan menyediakan bantuan satu masa kepada petani.

Kerajaan disarankan memberi subsidi pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran kepada petani sebagaimana yang pernah dilaksanakan pada 2008. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2020.

“Di bawah perintah kawalan pergerakan semasa, terdapat pembeli yang lebih sedikit dan permintaan untuk sayur-sayuran di pasaran juga menurun sebanyak 30%.

“Pada masa yang sama, kesan terhadap industri pelancongan juga secara tidak langsung mengurangkan permintaan untuk sayur-sayuran,” kata Tan.

Pakej yang akan diumumkan pada 30 Mac mestilah komprehensif, tambah Ang, atau kesan berterusan Covid-19 dan kerosakannya akan lebih besar.

Pada akhir Februari lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion.

Di bawah pakej tersebut, kerajaan akan mengecualikan atau mengurangkan cukai kepada industri terjejas, seperti mengecualikan cukai perkhidmatan hotel, dan juga membenarkan hotel, agensi pelancongan, pusat membeli-belah menikmati diskaun elektrik dan langkah-langkah lain untuk mengurangkan beban operasi.

Kerajaan juga membayar suntikan tunai sebanyak RM600 kepada pemandu teksi berdaftar, pemandu bas pelancongan dan pengayuh beca yang membawa pelancong.

Pakej Dr Mahathir mempunyai tiga strategi, iaitu, untuk mengurangkan kesan pandemik, untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dan untuk mempromosikan pelaburan berkualiti. – 25 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen