Roti, telur dapat permintaan tinggi pada tempoh PKP, kata peniaga


Angie Tan

Bekalan roti semakin sukar diperoleh dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2020.

ROTI dan telur menjadi barangan keperluan yang mendapat permintaan tinggi dalam tempoh seminggu penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata persatuan peniaga.

Masyarakat mula meluahkan rungutan mereka di media sosial berikutan kesukaran untuk mendapatkan telur dan roti di mana-mana kedai. 

Malah, pengeluar roti Gardenia berkata, kapasiti pengeluaran syarikat itu telah mencapai tahap maksima dan tidak mampu lagi untuk meningkatkan bekalan. 

Presiden Malaysian Bakery, Biscuit, Confectionary and Mee Merchants Association, Lai Yee Kein memberitahu The Malaysian Insight pihaknya berdepan masalah bekalan roti, namun ia bukan masalah pengeluaran tetapi pengangkutan. 

Menurutnya, pemandu takut untuk bekerja kerana penularan wabak yang berbahaya. 

“Jika mereka enggan hantar, takkan kita nak paksa? Dari segi kemanusiaan, industri tidak boleh memaksa mereka,” kata Lai. 

Menurutnya satu lagi sebab ialah rakyat Malaysia sudah bertukar tabiat sarapan mereka. Mereka sudah biasa makan mi pada waktu pagi, namun banyak kedai kopi tutup, jadi mereka bertukar kepada roti. 

“Sebelum ini, makanan semua orang bermacam jenis, namun kini ada segelintir kedai makan memilih untuk menutup perniagaan. Semua orang tiada pilihan, jadi mereka bertukar kepada roti, yang menyebabkan bekalan berkurangan.”

Semalam, Gardenia mengeluarkan kenyataan syarikat itu beroperasi dan membuat penghantaran ke kedai dan pasar raya utama seperti biasa, dan menggesa masyarakat agar membeli sekadar yang perlu sahaja.

Namun, Lai percaya sekiranya tempoh PKP dilanjutkan, bekalan roti di pasaran akan menurun. 

“Mengenai kesan lanjutan itu, kita tidak dapat agak. Apa yang boleh kita katakan adalah pengilang akan hasilkan produk seperti biasa, dan biasanya mereka akan berdepan masalah penghantaran.”

Satu lagi syarikat pengeluar utama, Massimo Bread dalam satu kenyataan berkata, pengeluaran dan penghantaran berjalan pada kapasiti penuh berikutan permintaan tinggi dan bekalan yang cepat habis di pasaran. 

Harga telur dipasaran naik sepanjang tempoh PKP kerana kekurangan bekalan. – Gambar EPA, 25 Mac, 2020.

PKP dikuatkuasakan oleh Putrajaya sebagai langkah untuk memutuskan rantaian jangkitan koronavirus yang setakat ini meragut 15 nyawa dan menjangkiti 1,624 orang di seluruh negara.

PKP selama dua minggu akan berakhir pada 31 Mac, namun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan tempoh PKP akan dilanjutkan sekiranya situasi tidak menunjukkan perkembangan positif. 

Sementara itu, Presiden Peniaga Telur Selangor dan Kuala Lumpur Low Hin Ching mengakui berlaku kekurangan bekalan menyebabkan harga terpaksa dinaikkan. 

Menurutnya, ketika tempoh PKP, orang ramai pasti akan membeli telur ketika keluar mendapatkan bekalan makanan, menyebabkan bekalan semakin kurang. 

Katanya, harga runcit bagi telur bersaiz besar akan naik lebih 40 sen bermula minggu ini namun ia berdasarkan permintaan pasaran semasa dan akan turun.

“Peniaga telur tiada pilihan dan terpaksa menerimanya, kerana hanya dengan itu telur boleh dibekalkan di pasaran.”

Ditanya mengenai aduan orang ramai tentang kekurangan telur di pasar raya, beliau menjelaskan dalam tempoh ini pasar raya dibuka untuk perniagaan dan dengan lebih banyak orang memasak di rumah, jualan telur yang cepat tidak dapat dielakkan.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak risau. – 25 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen