Kanak-kanak 4 tahun maut terjatuh flat 


SEORANG kanak-kanak lelaki berumur empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 kediamannya di Flat Sri Perak, Sentul di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata kanak-kanak berkenaan terjatuh ketika sedang bermain seorang diri di ruang luar belakang dapur dalam kejadian pukul 2 petang tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa memanjat kerusi dan mesin basuh sebelum terjatuh.

“Mangsa merupakan anak angkat kepada pemilik rumah itu. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat,” katanya.

Shanmugamoorthy berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.

Sementara itu, jiran kepada keluarga mangsa, Mohamad Feroz Abdul Karnim, 39, berkata dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas ibu angkat mangsa mengetuk pintu rumahnya berkali-kali bagi meminta pertolongan.

“Dia (ibu angkat mangsa) mengetuk pintu rumah saya dan berkata anaknya telah jatuh. Saya ingatkan jatuh tangga, rupanya sangkaan saya meleset apabila dia memberitahu anaknya jatuh ke bawah.

“Saya pun bergegas turun dan melihat bapa mangsa sedang meratapi anak angkatnya yang maut akibat terjatuh,” katanya.

Menurut Mohamad Feroz, pasangan yang melangsungkan perkahwinan lebih setahun itu sedang menunaikan solat ketika kejadian.

“Waktu kejadian saya tengah memasak dan tidak mendengar sebarang bunyi jatuh,” kata Mohamad Feroz. – Bernama, 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen