Gaji masuk minggu ini tapi jangan serbu bank, kata Ismail Sabri


Ravin Palanisamy

Jika perlu kerajaan akan mengerahkan polis atau tentera untuk mengawal keadaan di bank, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak menyerbu bank apabila gaji masuk minggu ini, dan sekiranya perlu, diingatkan agar sentiasa menjaga jarak dengan orang lain.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mengerahkan polis atau tentera untuk mengawal keadaan di bank, jika perlu.

Katanya, langkah itu bagi memastikan orang ramai patuh menjaga jarak antara satu sama lain sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, yang setakat ini ditetapkan sehingga 31 Mac ini.

“Dalam masa beberapa hari ini, kerajaan dan majikan akan bayar gaji. Oleh itu, kita jangkakan ada kesesakan di bank serta di mesin ATM (juruwang automatik).

“Jadi kita menyeru agar jangan berpusu-pusu atau berhimpun di ATM,” katanya dalam sidang media yang juga disiarkan secara langsung melalui televisyen dan Facebook.

Menteri kanan itu menambah pihak pengawal keselamatan bank juga akan memastikan orang ramai mematuhi jarak yang selamat antara satu sama lain, serta menjaga ketenteraman awam.

Ismail juga berkata pihak pengurusan bank boleh menentukan had pelanggan yang boleh dibenarkan berada di dalam bank pada satu-satu masa.

“Mereka yang mahu mengeluarkan wang atau untuk urusan lain perlu patuh arahan itu,” katanya.

Putrajaya menetapkan perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa sehingga 31 Mac ini bagi membendung penularan Covid-19. 

Perintah itu antara lain melarang orang ramai berada di tempat awam sementara semua perkhidmatan bukan keperluan ditutup.

Semalam, Malaysia mencatatkan 212 kes jangkitan baharu menjadikan keseluruhan 1,518 kes sekarang. Angka korban juga meningkat kepada 15, berikutan satu lagi kematian setakat pagi tadi. – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen