Polis perhebat kawalan di tiga zon merah Covid-19


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata lebih ramai anggota polis akan ditempatkan di tiga kawasan berisiko tinggi itu iaitu Kepong, Titiwangsa dan Lembah Pantai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

POLIS akan memberi lebih tumpuan di kawasan zon merah Covid-19 bagi memastikan penduduk mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata lebih ramai anggota polis akan ditempatkan di tiga kawasan berisiko tinggi itu iaitu Kepong, Titiwangsa dan Lembah Pantai.

Katanya, ketua polis setiap daerah juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Memang masih ada penduduk yang berdegil walaupun tahu kawasan itu ‘hotspot’ namun kita akan ambil tindakan jika masih ada yang tidak mematuhi perintah yang ditetapkan sehingga mendedahkan orang ramai kepada Covid-19,” katanya selepas membuat tinjauan di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, polis Kuala Lumpur juga melaksanakan 51 sekatan jalan raya sekitar ibu kota dan Putrajaya untuk memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP.

“Setiap hari seramai 3,127 pegawai dan anggota polis bersama 420 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turun ke lapangan untuk sekatan jalan raya, rondaan dan penguatkuasaan.

“Saya berharap orang ramai akan memberi kerjasama dengan mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan kerajaan untuk memastikan usaha membasmi Covid-19 dapat disempurnakan sehingga tamat tempoh ditetapkan,” katanya.

Setakat semalam, Malaysia mempunyai 1,518 kes positif Covid 19. Daripada jumlah itu 1,345 orang sedang menerima rawatan, 57 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 159 pesakit telah sembuh. 

Korban wabak itu kini naik kepada 15 orang, dengan mangsa terbaru meninggal dunia pagi tadi.  – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen