Tiada kes Covid-19 himpunan penganut Hindu di Pulau Pinang, kata KM


Zaim Ibrahim

SETAKAT ini tiada kes positif Covid-19 dilaporkan membabitkan peserta festival keagamaan Masi Magam di Teluk Bahang, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang juga memantau rapat peserta yang hadir majlis tersebut.

“Mengikut maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri, mereka sememangnya memantau rapat. 

“Hingga kini tiada kes (Covid 19) dilaporkan dikaitkan dengan himpunan tersebut,” kata beliau pada satu sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Festival keagamaan yang diadakan pada 8 Mac lalu dihadiri kira-kira 30,000 penganut Hindu.

Perayaan itu yang diadakan selepas Perhimpunan Majlis Tabligh di Masjid Sri Petaling yang berlangsung pada 27 Februari hingga 2 Mac menjadi kebimbangan banyak pihak.

Himpunan tabligh di Seri Petaling menjadi pusat meledaknya wabak Covid-19 di Malaysia dan beberapa kes jangkitan turut dilaporkan di beberapa buah negara Asia Tenggara lain dikaitkan dengan kluster itu.

Sebelum ini, Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), RS Mohan Shan menasihati penganut yang menghadiri sambutan keagamaan Masi Magam di Teluk Bahang, Pulau Pinang itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Setakat ini, Pulau Pinang merekodkan 66 kes positif Covid 19 dan satu kes kematian berkaitan kluster tabligh.

Malaysia kini mempunyai 1,518 kes positif Covid 19. Daripada jumlah itu 1,345 orang sedang menerima rawatan, 57 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 159 pesakit telah sembuh. 

Setakat semalam, 14 kematian dilaporkan. – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen