Pekerja asing di Pasar Borong Selayang diperiksa kesihatan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pemeriksaan kesihatan dijalankan secara mengejut terhadap lebih 700 pekerja asing termasuk Rohingya di Pasar Borong Kuala Lumpur pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

LEBIH 700 pekerja asing termasuk warga Rohingya menjalani pemeriksaan kesihatan mengejut untuk mengesan wabak Covid-19, di Pasar Borong Kuala Lumpur kira-kira jam 6 pagi hari ini.

Sebahagian warga Rohingya dipercayai antara jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan tahunan di Masjid Sri Petaling pada akhir bulan lalu, yang kemudiannya menjadi kluster utama jangkitan pandemik itu di Malaysia.

Seorang peniaga tempatan yang mahu dikenali sebagai Selvam berkata sebelum ini semua pekerja asing di pasar borong itu sudah diarahkan untuk menjalani pemeriksaan.

Namun sesetengah mereka enggan patuh arahan kerana pendapatan mereka bergantung pada upah harian dan tidak boleh meninggalkan kerja.

“Hari ini, dengan kemudahan disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di perkarangan pasar sendiri, semua akur untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.

Pemeriksaan yang berjalan kira-kira tiga jam itu dibuat dengan bantuan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis DiRaja Malaysia.

Pihak berkuasa turut mengambil data setiap pekerja, yang akan dihubungi semula jika positif, jelas Selvam.

Semalam, Malaysia mencatatkan 212 kes jangkitan baharu menjadikan keseluruhan 1,518 kes sekarang. Angka korban juga meningkat kepada 14, berikutan tiga lagi kematian semalam.

Daripada semua kes itu, 62% jangkitan melibatkan kluster perhimpunan tabligh di Sri Petaling. – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen