Hulurkan tangan kepada peneroka Felda


KITA sekarang berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa di seluruh negara. Ia tidak terkecuali dilaksanakan di semua rancangan Felda. 

Pada hari pertama perlaksanaan tempohari iaitu pada 18hb Mac yang lalu, terdapat sedikit kekeliruan di peringkat rancangan Felda apabila buah-buah sawit yang telah dipetik oleh peneroka atau wakilnya tidak diterima masuk di kilang-kilang FGV. 

Tetapi akhirnya perkara ini dapat diselesaikan apabila kerajaan memberi pengecualian supaya kilang-kilang pemprosesan sawit boleh beroperasi seperti biasa dengan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Selang beberapa hari selepas itu, ibu pejabat Felda pula mengeluarkan satu pekeliling menyatakan semua pembayaran termasuk pembayaran hasil kepada peneroka terpaksa ditangguhkan sehingga selesai PKP. 

Alasan yang diberikan oleh Felda adalah kerana ibu pejabatnya terpaksa ditutup dan kuarantin. Tindakan ini menjadikan keadaan peneroka Felda semakin sulit kerana pendapatan mereka hanya bergantung pada hasil ladang.

Berikutan semua kita kena tinggal di rumah ataupun bekerja dari rumah, Felda perlu melihat semula SOP (Standard Operating Procedure) tentang tatacara membuat pembayaran kepada peneroka atau pembekal mereka. 

Pembaikan SOP ini mesti dibuat minggu ini juga, jika tidak, masalah lebih serius boleh berlaku. Felda tidak sepatutnya menggunakan alasan penguatkuasaan PKP untuk menangguhkan pembayaran kerana ia melibatkan kehidupan peneroka. 

Jika ditakdirkan PKP dilanjutkan lebih lama lagi, apa akan terjadi kepada peneroka?

Jika penangguhan pembayaran ini ada kaitan dengan kedudukan aliran tunai Felda yang masih meruncing, ia perlu diselesaikan dalam jangkamasa panjang dan program yang menyeluruh. 

Ia perlu melibatkan institusi-institusi kewangan, kerajaan ataupun pihak yang ingin memberikan pertolongan.

Pelaksanaannya bukan untuk dilaksanakan sekarang kerana kita mempunyai tanggungjawab yang lebih penting lagi iaitu nyawa peneroka.

Turut boleh membantu dalam situasi ini juga adalah FGV Holdings.  

Mereka boleh membantu dengan cara memberi wang pendahuluan (advance) kepada hasil-hasil yang akan dibawa oleh peneroka apabila keadaan menjadi normal nanti. 

Kita ambil contoh, FGV Holdings membayar kepada Felda secara advance wang sebanyak RM200 juta untuk hasil yang akan dibawa oleh peneroka pada bulan April nanti.

FGV Holdings boleh membuat pembayaran berdasarkan 80% dari anggaran harga April nanti. Sebarang pelarasan (adjustment) terhadap bayaran akhir boleh dibuat pada April nanti apabila keadaan telah kembali normal.

Satu lagi cara yang boleh dilakukan oleh FGV Holdings adalah dengan membayar sebahagian dari wang pajakan LLA (land lease agreement) yang berjumlah RM250 juta itu kepada Felda dengan lebih segera tanpa menunggu sehingga akhir tahun. 

FGV Holdings boleh membayar dalam lingkungan RM150 juta pada bulan ini dan bakinya RM100 juta lagi dibayar kepada Felda kemudian nanti.

Felda bolehlah menggunakan wang yang didahulukan oleh FGV Holdings itu untuk meringankan beban peneroka.

Koperasi Permodalam Felda (KPF) juga boleh memainkan peranan lebih aktif didalam membantu ahli-ahlinya yang majoritinya dari kalangan peneroka Felda.

Difahamkan sekarang, pihak KPF sedang berunding dengan Felda bagi membolehkan peneroka mengambil barangan keperluan dari kedai-kedai D’Mart yang terdapat di hampir semua rancangan Felda dengan pembayaran secara kredit sehingga selesai tempoh PKP ini tamat. 

Untuk berlaku adil kepada KPF, pihak Felda hendaklah menjamin pembayaran akan dibuat oleh Felda jika peneroka gagal membuat pembayaran kembali.

Satu lagi alternatif adalah dengan cara kerajaan memberi subsidi untuk peneroka Felda mengambil barangan keperluan di kedai-kedai D’Mart (contohnya satu kotak barangan keperluan bernilai RM200 bagi setiap peneroka untuk tempoh sebulan).

Bantuan subsidi ini boleh terus diberikan  kepada KPF tanpa menerusi Felda. Badan-badan kerajaan boleh terus menghantar produk ini ke depoh KPF yang berada di beberapa negeri untuk diedarkan.

KPF dan FGV Holdings juga boleh memikirkan bagaimana caranya untuk membayar pendahuluan dividen (interim) kepada pelaburan peneroka didalam KPF dan FGV Holdings.

Pendahuluan ini hanya kepada ahli dari kalangan peneroka sahaja, bukan kepada kakitangan, pelabur awam biasa ataupun institusi pelaburan lain. 

Rundingan dengan pihak SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) dan Bursa Malaysia perlu dibuat bagi membolehkan pembayaran dividen interim ini dilaksanakan tanpa terlebih dahulu diluluskan dalam AGM (bagi KPF) atau melanggar mana-mana syarat yang tetapkan oleh Bursa Malaysia (bagi FGV Holdings).

Di samping itu, KPF, Koperasi Kakitangan Felda (Felkop) dan badan-badan koperasi di tanah rancangan Felda boleh mengambil initiatif untuk memberi pinjaman kepada peneroka dalam bentuk pinjaman tanpa cagaran (collateral) bagi meringankan bebanan peneroka buat sementara waktu ini.

Pihak NGO Generasi Kedua Felda juga perlu mengemblengkan tenaga untuk menubuhkan “foodbank” yang dipanggil Tabung Khas Covid-19 di setiap rancangan Felda.

Jadi sesiapa yang mempunyai kemampuan boleh menyumbang kepada “foodbank” ini. – 24 Mac, 2020

* Zakaria Arshad adalah ahli Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda/bekas CEO FGV.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen