Guna simpanan KWSP tidak selesaikan masalah, kata pencarum


Ravin Palanisamy Alfian Z.M. Tahir

Kebanyakan pencarum KWSP berpendapat langkah kerajaan membenarkan pengeluarkan Akaun 2 tidak akan menyelesaikan masalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

PENCARUM mempersoalkan keperluan menyentuh simpanan hari tua mereka selepas Putrajaya membenarkan pengeluaran wang daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bagi menangani kesan ekonomi akibat Covid-19. 

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat dalam masa seperti ini. Menurut mereka, ia adalah masalah negara dan langkah untuk menyentuh simpanan mereka tidak akan menyelesaikan masalah.

Bagaimanapun, terdapat segelintir daripada kumpulan bawah 40 (B40) yang bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan berkata ia merupakan cara untuk membantu kerajaan yang mempunyai kekangan kewangan. Bagaimanapun kata mereka, jumlah RM500 itu tidak banyak membantu. 

Semalam Muhyiddin mengumumkan pencarum KWSP dibenarkan mengeluarkan maksimum RM500 sebulan bagi tempoh maksimum 12 bulan daripada Akaun 2. Permohonan boleh dibuat bermula 1 April bagi membantu rakyat menangani kesan Covid-19. 

Mohd Idzwan Zainuddin memberitahu The Malaysian Insight kerajaan baharu Perikatan Nasional harus memberi tumpuan kepada cara untuk menurunkan harga barang dan bukannya membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan mereka sendiri daripada KWSP.

“Saya tidak bersetuju, jika kerajaan mahu membantu, mereka tidak perlu menggunakan wang kita. Itu adalah simpanan kita,” kata pereka laman web berusia 34 tahun itu.

“Mungkin mereka boleh membantu dengan mengurangkan harga barangan jadi orang ramai, terutama golongan miskin, boleh membeli keperluan mereka dengan mudah.”

Siti Hajar Mohamad Sedik berkata inisiatif kerajaan harus dipuji, memandangkan keadaan kewangan semasa negara.

“Ia adalah masa dan inisiatif harus dipuji. Pada masa seperti ini kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan untuk segala-galanya.

“Ekonomi sedang merosot, tambahan pula pengeluaran itu hanya sementara dan tidak menjejaskan banyak simpanan kami, ini adalah salah satu cara untuk membantu kerajaan,” katanya yang merupakan perunding kesihatan.

Mohd Irsyad Hatib bersetuju dengan Siti Hajar tetapi menambah kerajaan mesti membuat skim bantuan.

“Saya bersetuju 100%. Dengan perintah kawalan pergerakan berlaku, sesetengah orang tidak boleh bekerja dan inisiatif ini menawarkan bantuan walaupun tidak banyak.

“Tetapi jika kerajaan boleh memikirkan sesuatu untuk membantu, mengapa tidak, kerana ia juga menjadi tanggungjawab mereka sebagai pemerintah,” kata perunding IT berusia 28 tahun itu.

Namun, Christina yang merupakan pegawai bank tidak bersetuju dan mengatakan tidak masuk akal untuk orang ramai menggunakan simpanan mereka semasa pandemik.

“Saya tidak akan menggunakan wang KWSP saya. Simpanan ini adalah untuk selepas bersara. Tak masuk akal untuk guna simpanan sendiri. 

“Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membantu kerana ia adalah masalah negara,” katanya. – 24 Mac, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen