Lelaki ditahan rempuh sekatan polis ketika Op Covid-19


SEORANG lelaki ditahan selepas kenderaan yang dinaiki bersama dua rakannya merempuh sekatan jalan raya Op Covid-19 di kilometer 13.2 Lebuh Raya MRR2, Batu Caves, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, kereta dinaiki suspek jenis Perodua Alza dilihat dalam keadaan mencurigakan dan merempuh sekatan jalan raya sebelum melarikan diri ke arah Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

“Kenderaan itu hilang kawalan apabila sampai di Plaza Tol Gombak dan melanggar palang tol dan menuju ke arah Bentong.

“Apabila sampai di KM 23.6, kenderaan tersebut hilang kawalan sekali lagi dan melanggar tembok pembahagi jalan di Bentong sebelum ketiga-tiga suspek keluar dari kereta dan melarikan diri ke arah hutan berhampiran,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata seorang daripada suspek berusia 21 tahun ditahan kira-kira 5 petang tadi di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 20 rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

“Dua lagi suspek masih dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 menghalang penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, tiga lelaki ditahan kerana memiliki pelbagai barangan dipercayai peralatan pecah rumah dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di kawasan Jalan Utama Indah Perdana Kepong, awal pagi tadi.

Arifai berkata semua suspek berusia 32 hingga 42 tahun ditahan reman empat hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Peraturan 7 di bawah Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan). – Bernama, 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen