3 sekeluarga di Sarawak maut kerana Covid-19


Desmond Davidson

Tiga sekeluarga di Sarawak maut akibat Covid-19, dipercayai kes pertama seumpamanya di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2020.

TIGA sekeluarga di Sarawak maut akibat Covid-19, dipercayai kes pertama seumpamanya di negara ini.

Pada 18 Mac, seorang wanita berusia 70 tahun meninggal dunia kerana Covid-19 di rumahnya di Kuching. Pada 21 Mac, anak perempuannya berusia 40 tahun meninggal dunia kerana virus itu di Hospital Besar Sarawak.

Hari ini, anak lelaki wanita itu yang berusia 49 tahun pula meninggal dunia di Hospital Besar Sarawak. Pesakit dimasukkan ke hospital pada 18 Mac, hari di mana ibunya meninggal dunia.

Juga di Sarawak hari ini, seorang wanita berusia 51 tahun berasal dari Limbang meninggal dunia di Hospital Miri.

Wanita itu dijangkiti virus itu selepas ada kontak rapat dengan seorang ahli tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur lebih tiga minggu lalu.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Limbang pada 14 Mac dan dihantar ke Hospital Miri menggunakan helikopter pada hari sama.

Setakat hari ini, 14 rakyat Malaysia maut kerana Covid-19, dengan lima daripadanya di Sarawak.

Kematian pertama di negeri itu ialah seorang pastor berusia 60 tahun dari Kuching, pada 17 Mac.

Kementerian Kesihatan Malaysia berkata 212 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini – jumlah tertinggi dalam sehari – menjadikan jumlah keseluruhan 1,518.

Kebanyakan kes dilaporkan dari kluster tabligh, dan pihak berkuasa masih menjejaki peserta perhimpunan itu untuk tampil menjalani ujian. – 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen