POLIS hari ini menafikan bahawa empat lelaki kononnya pesakit Covid-19 telah melarikan diri dari Hospital Kepala Batas (HKB) di Kepala Batas seperti terdapat dalam mesej yang tular sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mesej itu menyebut bahawa empat lelaki tersebut, yang kononnya sedang menerima rawatan di HKB, telah melarikan diri dan orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga supaya tidak dijangkiti Covid-19 daripada mereka.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati maklumat itu, yang menggunakam pelaporan Polis Diraja Malaysia, adalah palsu dan tiada sebarang laporan atau maklumat yang diterima daripada HKB berhubung perkara tersebut,” katanya di Kepala Batas hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai agar berhenti menyebarkan maklumat tidak benar kerana ia akan mengganggu-gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.
Katanya polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang masih menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar. – Bernama, 23 Mac, 2020.
Komen